Berita UtamaUtama

Mayat bayi lelaki ditemukan dalam mangkuk tandas

CCTV mendapati suspek masuk tandas awal pagi bersama beg

KUANTAN, 23 Muharam 1440H, Isnin – Tandas tersumbat dan warna air yang berubah menjadi merah membawa kepada penemuan mayat bayi lelaki dipercayai baharu dilahirkan dalam keadaan tidak cukup bulan di stesen bas Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini, hari ini.

Pemandu teksi yang berpangkalan di TSK, Wan Subhi Wan Jusoh, 54, berkata, beliau dan tiga lagi kenalan sedang bersembang semasa dipanggil seorang pekerja wanita pembersihan terminal sekitar jam 9 pagi.

Wan Subhi berkata, wanita itu menjerit menyatakan terdapat tandas yang bertakung dengan air bercampur darah dan apabila dipam, air berkenaan melimpah keluar dari mangkok tandas.

“Pada mulanya kami menyangka ada yang membuang tuala wanita, tapi bila diperiksa, nampak seperti ada uri terapung menyebabkan seorang daripada kami menggunakan dawai untuk mengambil uri berkenaan.

“Walaupun uri sudah diangkat, tandas tetap tersumbat menyebabkan kami mengesyaki ada bayi tersangkut kerana melihat terdapat tali pusat di situ dan terus menghubungi polis,” katanya kepada pemberita, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, walaupun dipercayai tidak cukup bulan, bayi lelaki itu sudah cukup sifat dan tandas itu sebenarnya ditutup kepada orang awam sejak Khamis lalu (19 September), bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf.

“Rakaman kamera tertutup (CCTV) di terminal itu mendapati terdapat seorang wanita berbaju hitam masuk ke tandas pada 5.58 pagi bersama beg dan keluar kira-kira setengah jam kemudian dengan memakai baju kurung.

“Polis kini sedang mengesan wanita itu yang dipercayai suspek utama kes ini dan berharap orang ramai termasuk pemandu teksi yang ada mengambil penumpang wanita mencurigakan pada awal pagi untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Mohamad Noor berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk bedah siasat.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi dan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close