Berita UtamaUtama

Isma Gombak serah sumbangan kepada mangsa kebakaran

NGO, masyarakat setempat perlu peka isu semasa terutama musibah

BANGI, 23 Muharram 1441H, Isnin – Hanya sekelip mata, penghuni di empat rumah di Jalan Kampung Melayu, Gombak tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka hangus dalam kebakaran, Sabtu lalu.

Atas dasar keprihatinan, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Gombak turut membantu meringankan beban yang dialami dengan memberi sumbangan wang tunai kepada mangsa.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Yang di-Pertua Isma Gombak, Haji Abdul Samad Ashaari kepada salah seorang mangsa.

“Sumbangan berbentuk wang ringgit telah diserahkan kepada Puan Salwati yang merupakan salah seorang ahli keluarga yang sempat kami temui pada hari ini.

“Kami menzahirkan simpati kepada semua mangsa yang terlibat dan pada masa yang sama rasa syukur kerana tiada kehilangan nyawa dan kecederaan menimpa mangsa,” kata Abdul Samad.

Beliau berkata, pihak Isma Gombak akan terus menghubungi dan menyantuni keluarga mangsa dari semasa ke semasa.

” InsyaAllah, kami akan terus peka terhadap isu-isu komuniti setempat dan berikrar akan terus berbakti kepada masyarakat.

“Kami menyeru agar NGO-NGO dan masyarakat setempat bersama-sama peka akan isu semasa yang berlaku di sekitar Gombak terutamanya yang melibatkan musibah dan bencana sebegini,” katanya.

Dalam kejadian petang Sabtu lalu, empat buah rumah teres satu tingkat kelas B musnah dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Kampung Melayu, Gombak.

Walaupun kesemua rumah hangus seratus peratus dalam kejadian itu, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close