Berita Utama

UMNO semakin mengecil, tak lagi jadi parti tunjang dalam kerajaan

DAP sama sekali tidak pernah tinggalkan agenda Malaysian Malaysia

BANGI, 4 Zulkaedah 1444H, Rabu – Sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) diteruskan bersama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, UMNO berkemungkinan tidak lagi akan menjadi parti tunjang kerajaan, malah mengecil menjadi parti pelengkap (sekunder).

Ditambah pula dengan seruan pemimpin utama UMNO agar mengundi DAP dalam PRN akan datang memusnahkan doktrin utama perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan tanah air.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, ini kerana ideologi perjuangan DAP sama sekali bertentangan dengan UMNO. 

“DAP sama sekali tidak pernah meninggalkan agenda Malaysian Malaysia, dan inilah menjadi penyebab tidak ada parti Melayu yang kekal berkawan dengan mereka kecuali Parti Amanah Negara (PAN),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuhdi berkata, meskipun  ramai yang memandang sinis kesetiaan ahli akar umbi UMNO terhadap perjuangan agama, bangsa dan tanah air, pengalaman bersama di dalam Muafakat Nasional sebelum ini menunjukkan cukup ramai ahli akar umbi parti itu yang benar-benar jujur dengan perjuangan tersebut. 

“Oleh sebab itu, apabila pimpinan utama UMNO berdakap dengan DAP, ahli-ahli akar umbi ini diyakini akan beralih kemudi.

“Persoalan yang timbul ialah, berapa peratus ahli akar umbi UMNO ini akan beralih kemudi? Pimpinan utama UMNO boleh jadi yakin, mereka yang beralih itu tidak ramai memandangkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendapat sokongan padu dalam pemilihan UMNO baru-baru ini. 

“Bagaimanapun, saya meyakini hampir separuh dari ahli akar umbi ummo akan beralih sokongan daripada menyokong gabungan PH-BN,” katanya.

Beliau menjelaskan pandangannya itu dengan mengimbas kembali konflik dalaman UMNO pada tahun 1987, dengan wujudnya Kumpulan A dan Kumpulan B, kemudian berpecah pula semasa Era Reformasi tahun 1998 dan yang terakhir Pasca Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tahun 2016.

Lazimnya, beliau berkata, perpecahan akan menyebabkan ahli akar umbi terbelah dua. 

Apatah lagi kali ini, UMNO telah dibawa oleh pimpinannya berdakap dengan golongan yang menunjangi Malaysian Malaysia, katanya.

“Sekiranya separuh ahli akar-umbi UMNO beralih kemudi, maka berdasarkan dapatan daripada PRU ke-15 yang lalu iaitu 32 peratus pengundi Melayu menyokong UMNO, bermaksud tinggal hanya 16 peratus pengundi Melayu yang masih menyokong mereka. 

“16 peratus yang selebihnya boleh jadi akan membuat undi protes terhadap PH-BN, sama ada tidak keluar mengundi atau mengundi PN,” katanya.

Beliau berkata, dalam PRN akan datang, undi protes 16 peratus pengundi Melayu ini bakal menentukan siapa yang menang di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. 

“Undi protes ini juga bakal memperkukuhkan lagi dominasi PN di Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

“Selain daripada itu, diyakini akan wujud pula undi protes dari pengundi bukan-Melayu terhadap PH, yang akan dikupas dalam rencana yang lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button