Berita UtamaUtama

UMNO desak akhbar Cina mohon maaf isu gambar Zahid-Hadi

Kebebasan bersuara tak bermakna rakyat boleh melampaui batas

BANGI, 22 Muharram 1441H, Ahad – UMNO hari ini menempelak tindakan sebuah akhbar berbahasa Cina yang memaparkan gambar seperti ‘perkahwinan’ antara presidennya, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada keluaran 19 September lalu.

Menyifatkan tindakan sedemikian sebagai biadab, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kebebasan bersuara, menulis atau menyuarakan pandangan bukan bermakna kita boleh berkata atau melakukan apa sahaja hingga melampaui batas, apatah lagi melanggar etika kewartawanan.

“Jika akhbar itu tidak bersetuju dengan Muafakat Nasional, itu pendirian masing masing.

“Namun menerbitkan gambar seolah-olah Presiden UMNO dan Presiden PAS melakukan ‘perkahwinan sejenis’ adalah sangat biadab. Kita minta akhbar ini memohon maaf di atas tindakannya yang melampau batas,” tegas beliau dalam satu kenyataan.

Pada masa sama Shamsul mempersoalkan tindakan itu yang seolah-olah bimbang atau terancam dengan ‘taawun siyasi’ antara UMNO dan PAS sedangkan negara ini mengamalkan sistem demokrasi.

“Oleh itu tiada kesalahan apa yang UMNO dan PAS lakukan. Malahan Muafakat Nasional adalah baik untuk pelbagai kaum dalam negara ini,” katanya.

Sebelum ini tular gambar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disunting memakai pakaian perkahwinan dipercayai dicetak oleh akhbar Cina.

Gambar berkenaan dipercayai sebagai sindiran kepada kerjasama antara UMNO dan PAS melalui permeteraian piagam bersama dua parti itu ketika Himpunan Penyatuan Ummah, minggu lalu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close