Berita UtamaUtama

Tiada lagi pendaftaran lewat kelahiran di JPN

Muhyiddin beri amaran henti sebar maklumat tidak benar, palsu

BANGI, 22 Muharram 1441H, Ahad – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberhentikan serta-merta pendaftaran lewat kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) dan menetapkan proses itu hanya boleh dilakukan di ibu pejabat sahaja untuk semak dan imbang.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Penyampaian JPN yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim pada 18 September lalu.

Katanya, mesyuarat itu juga memutuskan bahawa KDN akan meningkatkan kekerapan proses naziran secara mengejut di semua bahagian JPN termasuk terhadap vendor yang terlibat bagi memastikan semua tatacara yang telah ditetapkan, dipatuhi.

Selain itu, KDN juga akan menambahbaik aras keselamatan berperingkat agar tidak boleh diakses dengan mudah oleh semua pegawai sebaliknya perlu melalui verifikasi daripada pegawai atasan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menegaskan pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dalam penjualan MyKad dan memberi kuasa penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan mendakwa pengkhianat negara.

Muyhiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau tidak benar bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“KDN tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita-berita yang tidak sahih dan palsu yang ditularkan. Tindakan tegas akan diambil bagi memberi pengajaran kepada pihak lain supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang tidak benar,” katanya.

Pada 19 Ogos lalu, 20 individu termasuk kakitangan JPN Pulau Pinang ditahan polis bagi membantu siasatan kes penjualan MyKad kepada warga asing.

Mereka ditahan dalam serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bahagian (D14) Siasatan Jenayah Terancang Bukit Aman.

Pada 12 September lalu, seorang lelaki bergelar Datuk dan pegawai di JPN Pulau Pinang adalah antara enam individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang atas 32 pertuduhan membabitkan aktiviti penjualan MyKad dan dokumen pengenalan sah kepada warga asing.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close