Berita UtamaUtama

‘PH kata Melayu tak terancam tapi anjur kongres Melayu’

Kembalikan dominasi politik Melayu untuk tebus maruah orang Melayu

BANGI, 22 Muharram 1441H, Ahad – Hanya satu solusi yang boleh dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menebus semula maruah orang Melayu dengan mengembalikan dominasi politik serta kepimpinan negara kepada orang Melayu dan Islam.

Presiden Professional Muslim Community (PMC), Hazwan Mohamad  berkata, dominasi itu tidak seharusnya diukur melalui jumlah kerusi di Parlimen semata-mata, tetapi kesedaran mengenai hakikat pengaruh kekuasaan yang boleh diterjemah kepada keakuran secara sukarela.

Tanpa menafikan realiti politik hari ini, beliau berkata, dominasi pengaruh orang Melayu dan Islam dalam kerajaan sudah runtuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya tidak mahu mengulangi bacaan politik beberapa NGO yang sudah memberi ‘warning’ awal terhadap pengaruh besar ‘Abang Long’ (DAP) dalam Pakatan Harapan dan juga tidak lupa pengaruh luas golongan liberal sekular demokratik yang sedang berpaut teguh bersama Ahli-Ahli Parlimen dalam Pakatan Harapan. Tetapi inilah realiti yang kita perlu hadap. 

“Isu hak keistimewaan orang Melayu Bumiputera, UEC, ICERD, naratif sejarah baharu, tulisan Jawi, bahasa Melayu bahasa kedua, RUU Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam di DUN Selangor, buku-buku yang dahulunya diharamkan kini dibenarkan kembali, penularan ajaran sesat Syiah, gerakan liberalisme, perlekehan terhadap kempen beli produk muslim dahulu dan macam-macam lagi yang dihidangkan dimuka kita semua,” katanya.

Beliau berkata, apa yang dilihat rakyat ketika ini hanyalah terzahir di hadapan, dan perlu bimbang dengan rancangan lain yang sudah diatur PH di sebalik ‘dinding’ Putrajaya itu.

“Kita wajar untuk risau, kerana di posisi-posisi strategik Kewangan, Pertahanan, Sumber Manusia dan Komunikasi Penerangan semua ini secara sedar atau tidak sudah diserahkan kepada ‘Abang Long’!,” katanya.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa kerajaan PH bakal menganjurkan satu kongres yang dinamakan sebagai ‘Kongres Maruah Melayu’ dijangka pada akhir bulan ini.

“Sungguh ironi, mereka yang bersungguh mengatakan bahawa orang Melayu tidak terancam, agama Islam tidak terancam, tiba-tiba, dengan tidak semena-mena mahu menganjurkan sebuah perhimpunan berbicara soal ‘maruah’ Melayu.

“Lebih ironi lagi, kerajaan yang kini dikenali setiap lapisan masyarakat sebagai sebuah kerajaan yang didominasi oleh parti rasis dan cauvanis DAP, yang seringkali dilihat tunduk dengan desakan ‘Abang Long’ ini, mahu menganjurkan perhimpunan dan berbicara soal ‘maruah’ pula,” katanya.

Dalam poster tersebar di media sosial, Kongres Maruah Melayu dijadualkan berlangsung pada 6 Oktober depan, di Axiata Arena Bukit Jalil. 

Difahamkan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan memberikan amanatnya dalam kongres berkenaan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close