Berita UtamaUtama

Takut kerjasama PAS-UMNO sampai sanggup dilabel ‘neraka’

Dulu Mujahid, ahli PAN kata keluar PAS kerana ada golongan takfiri

BANGI, 21 Muharram 1441H, Sabtu – Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof yang menyifatkan perpaduan ummah antara UMNO dan PAS sebagai perlumbaan ke neraka.

Mujahid baru-baru ini berkata, gagasan Rahmatan Lil Alamin tidak berhasrat menandingi konsep penyatuan ummah yang dianggapnya sebagai pertandingan ke neraka, sebaliknya beliau mahu pertandingan ke syurga.

Sebaliknya, kata Mujahid, konsep gagasan tersebut perlu dijadikan sebagai satu dasar yang boleh menjadikan negara ini terus maju ke hadapan.

Kecewa dengan kenyataan itu, Idris berkata, dahulu Mujahid dan rakan seperjuangannya dalam Parti Amanah Nasional (PAN) sering menyebut bahawa mereka keluar daripada PAS kerana ada golongan takfiri. 

“Nah! Sekarang siapa pula yang boleh kata tak perlu berlumba dengan PAS-UMNO ke neraka. Ngeri dengar ucapan ini. Kalau pun marah kerjasama PAS UMNO jangan sampai sebut PAS-UMNO berlumba ke neraka.

“Nauzubillah min zalik. Minta jauh daripada neraka. Kita hanya beramal seperti apa yang Allah dan Rasul perintah. Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias panduan kita. Kemudian serah kepada Allah. Harapan kita agar diberi pahala dan dimasuk dalam syurga dan jauh daripada neraka. Itu sahaja,” katanya. 

Beliau turut mempersoalkan ‘kegerunan’ Mujahid terhadap penyatuan ummah itu sehingga perlu memberikan label sedemikian.

“Takut apa dengan kerjasama PAS-UMNO, bukankah PAN parti Islam yang boleh ganti PAS. 

“Kononnya ramai ahli PAS akan sertai PAN kerana tidak puas hati dengan kerjasama ini,” katanya.

14 September lalu, PAS dan UMNO secara rasmi memeterai kerjasama politik setelah hampir 60 tahun ‘berseteru’ dengan mewujudkan Piagam Muafakat Nasional.

Piagam yang ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti itu, adalah satu tatakelola kerja bagaimana kedua-dua parti harus bergerak dari sekarang hingga ke pilihan raya umum yang akan datang.

Ia antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close