Berita UtamaUtama

PDRM mohon tambah anggota

Bukit Aman mahu UTK, VAT 69 ditambah demi keselematan sempadan

IPOH, 21 Muharram 1441H, Sabtu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon agar kerajaan membuat pertimbangan khas untuk menambah jumlah anggota pasukan keselamatan, terutama yang terbabit dalam menjaga sempadan negara.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, walaupun kerajaan ketika ini merancang untuk tidak menambah jumlah penjawat awam, namun isu keselamatan tidak harus dikompromi.

“Permohonan penambahan anggota yang dibuat membabitkan pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) daripada lebih 400 kepada 888 anggota serta 662 anggota Komando VAT 69 kepada 991 orang.

“Ini mustahak kerana penugasan mereka semakin diperlukan berikutan kita masih menghadapi ancaman khususnya di sebelah Pantai Timur Sabah, dan kita sentiasa menempatkan anggota VAT 69 dan UTK secara bergilir di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf kepada balu veteran VAT 69 Komando dan melepaskan Konvoi ‘Di sini kami bermula’ sempena Jubli Emas 69 Komando, di Dewan Nazrin 69 Komando, Hulu Kinta, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani, berkata kertas kerja mengenai permohonan itu telah disiapkan dan kini dalam proses untuk dihantar kepada kerajaan bagi pertimbangan.

Pasukan VAT 69 bukan sahaja dilatih untuk tugasan seperti di Pantai Timur Sabah, malah keganasan dalam bandar.

“Jadi dengan perkembangan semasa dan dengan beberapa ancaman yang kita lihat sekarang, kita perlu sentiasa bersiap sedia. Jangan nanti berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, kita tidak ada persiapan yang sewajarnya,” katanya.

Mengenai konvoi itu, Acryl Sani berkata, ia bermula hari ini sehingga 25 September dan sepanjang tempoh itu, para peserta kira-kira 50 orang akan membuat persinggahan di tempat-tempat latihan asas 69 Komando antaranya Fort Kemar, Gerik; Pos Legap, Sungai Siput, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan, sebelum berakhir di Jerai, Kedah. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close