Berita UtamaIstimewa

Jangan leka! Jenayah makin meningkat disebabkan najis dadah

Pemimpin, agensi kerajaan, NGO perlu gabung tenga dan kepakaran

BANGI, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Tatkala negara dilanda pandemik COVID-19, jangan sesekali lupa gejala penyalahgunaan dadah yang terus berleluasa dalam masyarakat.

Ini kerana, isu berkenaan banyak menjurus kepada peningkatan kes jenayah dan wajar untuk kita jadikan iktibar.

Justeru, pemimpin, agensi kerajaan, alim ulama, NGO Islam, aktivis masyarakat digesa bergabung tenaga dan kepakaran menangani gejala ini dengan lebih Islamik, holistik dan berintegriti.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masrizi Sat mengingatkan bahawa masih tiada vaksin yang boleh menyekat penularan musuh nombor satu negara ini.

“Jangan lupa kadar jenayah negara kita semakin hari semakin meningkat akibat najis dadah ini.

“Jangan lupa berapa ramai dah harta benda musnah dan nyawa terkorban kerana gejala dadah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, seorang bapa ditahan kerana disyaki menikam bayi perempuannya yang berusia setahun lapan bulan di sebuah flat di Puchong Permai.

Suspek yang berusia 27 tahun didapati positif dadah jenis Metamphetamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan.

Pada 3 Ogos lalu, seorang penagih dadah ditahan polis selepas dipercayai membunuh ibunya bagi mendapatkan wang di kediaman mangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman, Jinjang Utara.

Akibat pengaruh dadah juga, seorang lelaki tergamak mengugut untuk membunuh ibunya kerana gagal mendapatkan wang untuk membeli dadah.

Kejadian berlaku di rumah mereka di Kampung Jubai, Labu Besar, di Kulim.

Lelaki berusia 23 tahun itu dikatakan bertindak demikian selepas ibunya yang berusia 57 tahun tidak memberi wang yang diminta menyebabkan suspek mengamuk dan turut merosakkan barangan dalam rumah berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button