Berita UtamaUtama

Keracunan: Kontrak penyedia makanan sekolah digantung

Siasatan kes guna masjid untuk program politik masih dalam tindakan

IPOH, 21 Muharram 1441H, Sabtu – Kontrak penyedia makanan di sebuah sekolah di Kampung Gajah, Pasir Salak yang terbabit dengan kes keracunan makanan pelajar pada 13 September lalu telah digantung.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusof Husin berkata, penggantungan kontrak penyedia makanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan siasatan dan pihaknya telah melantik kontraktor baharu.

“JAIPk telah menerima laporan siasatan semalam dan mendapati berlakunya kes keracunan makanan.

“Kami telah melantik kontraktor lain yang disyorkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah untuk menggantikan katering di sekolah itu yang digantung kontrak sebagai langkah awal,” katanya kepada pemberita, selepas merasmikan Konvensyen Rahmah Negeri Perak di sini, hari ini.

Turut hadir Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Konvensyen sehari itu adalah anjuran Pejabat Exco Agama dan Pendidikan Islam, Pejabat Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri, JAIPk serta agensi-agensi kerajaan negeri itu.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan siasatan berhubung parti politik yang menggunakan masjid dan surau untuk aktiviti kepartian di negeri ini, Mohd Yusof berkata ia masih dalam tindakan.

“Ada (pengerusi jawatankuasa masjid) yang telah kami gantung dan dikenakan tindakan disiplin membabitkan enam masjid,” katanya.

Pada 26 Mei lepas, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menitahkan supaya pengerusi jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk program parti politik, digantung tugas sementara siasatan ke atas mereka dijalankan.

Sementara itu, Zulkifli ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Memperkasa Kemakmuran Ummat’ berkata, gagasan “Rahmatan Lil Alamin” (rahmat untuk seluruh alam) perlu diperluaskan ke semua peringkat.

Katanya, usaha itu perlu agar gagasan yang menjadi dasar baharu negara dapat difahami secara lebih mendalam oleh masyarakat. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close