Berita UtamaUtama

Gagal tunai janji, pentadbiran PH tidak bertanggungjawab

Mana janji naikkan gaji minimum RM1,500, penghapusan tol?: Berjasa

BANGI, 21 Muharram 1441H, Sabtu – Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz menyifatkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebagai tidak bertanggungjawab.

Sebelum PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau berkata, pelbagai janji yang ditabur oleh PH, namun mereka tiada keyakinan untuk melunaskan janji-janji berkenaan.

“Manifesto PH bukanlah al-Quran, tetapi memenuhi janji, menepati amanah dan bercakap benar adalah daripada al-Quran, dan mereka yang mempunyai sifat-sifat ini (mengingkari janji) seperti yang disebut Rasulullah ﷺ adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang munafik,” katanya.

Berucap pada Ceramah Umum Penyatuan Ummah di Tampin semalam, Dr Badrulhisham berkata, PH telah berjanji untuk menaikkan gaji minimum yang secara awalnya RM1,010 kepada RM1,500 sebelum PRU, namun sekarang ianya hanya jadi RM1,100.

Bukan itu sahaja, malah katanya, janji lain seperti penghapusan tol dan penurunan harga minyak tidak mungkin akan dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Dr Badrulhisham berkata, PH menyerlahkan lagi sikap tidak bertanggungjawab dengan berjanji bahawa mereka tidak akan meletakkan orang-orang politik di dalam agensi kerajaan seperti mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Parlimen dan sebagainya.

“Tetapi, janji hanya tinggal janji, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dilantik menjadi Speaker Dewan Rakyat.

“Sudahlah tidak mengikut peraturan dewan, rupa-rupanya beliau adalah Pengerusi Lembaga Disiplin Tatatertib dan anggota Majlis Penasihat parti Amanah.

“Dengan senang-senangnya beliau cakap telah meletakkan semua jawatan pada Julai tahun lalu, dan akhirnya beliau dilantik menjadi Speaker,” katanya.

Beliau berkata, ia termasuk pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang juga ahli Majlis Tertinggi PKR, selain Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting iaitu isteri Setiausaha Politik Perdana Menteri.

“Datuk Seri Mukhriz iaitu anak Tun Mahathir juga dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), dan kalau saya nak sebut semua, memang ramai senarai yang saya ada.

“Jadi, inilah janji-janji palsu untuk institusi penting ini, akhirnya jatuh kepada mereka yang tidak bertanggugjawab, jatuh kepada ahli politik yang mempunyai kepentingan politik sehingga rule of law tiada,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close