Berita UtamaUtama

APMM usir kapal penguatkuasa Vietnam

Bot nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan negara, curi hasil laut

BANGI, 21 Muharram 1441H, Sabtu – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mengusir keluar kapal penguatkuasa Vietnam Fisheries Resources Surveillance KN 205 kerana dipercayai mengganggu aset Maritim Malaysia iaitu KM Langkawi ketika menjalankan tugas, di 167 batu nautika timur laut Tanjung Mat Amin, Terengganu, 18 September lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Ibrahim Mohamed berkata, kapal FRS KN205 Vietnam itu cuba menghalang KM Langkawi yang menahan sebuah bot nelayan Vietnam kerana menceroboh perairan negara bagi mencuri hasil laut.

“Dalam kejadian pada jam 9.48 pagi, 18 September lalu, kapal penguat kuasa Vietnam terbabit telah cuba menghalang anggota penguat kuasa Maritim Malaysia dengan cuba menghimpit bot tahanan selain membuat pusingan berbahaya di hadapan KM Langkawi.

“Namun, cubaan mereka gagal apabila KM Langkawi berjaya menghalang mereka daripada merapati bot tahanan yang sedang dikawal untuk dibawa pulang bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

​Ibrahim berkata, pihak Wisma Putra telah dimaklumkan berkenaan insiden tersebut.

Maritim Malaysia juga telah menghubungi Penasihat Pertahanan Vietnam untuk mengadakan perbincangan bagi menangani insiden yang berlaku dengan kadar segera, katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, penasihat berkenaan tidak dapat hadir dan hanya akan bertemu wakil dari Bahagian Operasi Maritim Malaysia pada minggu hadapan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada mulanya, kapal penguatkuasa Vietnam itu meminta agar KM Langkawi melepaskan bot nelayan mereka daripada ditahan, namun KM Langkawi tidak memenuhi permintaan mereka berikutan bot nelayan berkenaan telah melakukan kesalahan yang berat iaitu menceroboh perairan Terengganu untuk merompak hasil laut Malaysia, dan telah mengarahkan kapal tersebut keluar dari perairan negara.

​“Bot nelayan terbabit bersama tiga nelayan termasuk tekong warga Vietnam ditahan dan turut dirampas diesel anggaran 9,000 liter serta peralatan menangkap ikan dan kesemuanya dianggarkan bernilai RM700,000.

“Bot dan semua kru Vietnam tersebut telah dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman jam 6 petang pada 19 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a)Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan, dan juga Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

​Dalam pada itu, Ibrahim berkata, Maritim Malaysia akan meneruskan operasi bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam. 

“Sejak 2006 hingga kini, Maritim Malaysia telah berjaya menahan 1272 bot nelayan asing dengan jumlah kru yang ditahan sebanyak 10,408 orang. 

“Dari jumlah tersebut, sebanyak 784 buah bot merupakan bot nelayan Vietnam dengan jumlah kru yang ditahan seramai 7399. Nilai rampasan keseluruhan bot nelayan asing sejak 2006 dianggarkan berjumlah RM1.2 bilion,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close