Uncategorized

Pahang bakal terima RM1.38 bilion pelaburan dari China

Cadangan penerbangan terus Kuantan-Nanning dibincang

KUANTAN, 20 Muharram 1441H, Jumaat – Pahang bakal menerima pelaburan berjumlah RM1.38 bilion dari China menerusi Memorandum Persefahaman (MoU), yang dimaterai dengan enam syarikat dari negara itu.

Menurut kenyataan media Pejabat Setiausaha Akhbar Menteri Besar, di sini, hari ini, MoU itu ditandatangani pada rombongan kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ke China sejak Rabu lepas.

Antara syarikat berkenaan ialah ND Paper (M) Bhd yang akan membina kilang di Bentong bagi pengeluaran kertas dan palpa bernilai RM522.2 juta dan pelaburan RM200 juta oleh China Travel Service Meizian Company Limited, bagi mewujudkan ‘Eco Tourism City’ dan Bukit Tinggi.

Pelaburan itu juga membabitkan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di sini, menerusi TNP Power Sdn Bhd dengan nilai pelaburan RM341.74 juta bagi kilang penjanaan bersepadu tenaga dan haba, serta Zhongxin Resources Regeneration Technology Sdn Bhd yang terbabit dalam pengeluaran kertas dan habuk plastik dengan nilai pelaburan RM122.48 juta.

Manakala Wuxi Jinxie Industrial Company Limited memberi komitmen pelaburan RM100 juta, bagi pembinaan turbin angin berkelajuan rendah untuk menjana tenaga di Pulau Tioman, Rompin.

MoU itu juga membabitkan pembinaan kilang pengeluaran panel solar untuk kediaman di Kawasan Perindustrian Gebeng, di sini, oleh Power China Construction Group dengan nilai pelaburan RM100 juta.

Wan Rosdy menyatakan beliau berharap semua MoU itu dapat direalisasikan dan yakin ia akan memberi impak sosio-ekonomi yang besar kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Pahang.

Pada kunjungannya ke China, Wan Rosdy juga melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Chen Wu dan antara perkara yang disentuh pada pertemuan itu ialah cadangan mengadakan penerbangan terus Kuantan-Nanning yang dapat memendekkan tempoh masa perjalanan. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close