Berita Utama

3 lelaki ditahan terlibat sindiket curi kereta

Polis turut rampas 5 buah kenderaan bernilai RM300,000

KUALA LUMPUR, 3 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Polis menahan tiga lelaki ahli sindiket mencuri kereta dan merampas lima kenderaan yang dianggarkan bernilai RM300,000 di Jalan Klang Lama, di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata ketiga-tiga suspek warga tempatan yang berusia 22 hingga 30 tahun itu ditahan dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta pada kira-kira 8.30 malam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta tersebut, polis menemui beberapa dokumen dan beberapa kunci kereta.http://www.projekkorban.com

“Hasil soal siasat yang dijalankan telah membawa kepada penemuan lima kenderaan yang dilaporkan hilang di sekitar Kuala Lumpur sejak awal tahun ini ialah Toyota Hilux, Honda CRV, Lexus, Audi dan sebuah Perodua Myvi yang dianggarkan bernilai RM300,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata modus operandi sindiket ini mencuri secara berkumpulan sebelum kereta itu dijual kembali dengan nombor casis dan nombor enjin yang telah diubah suai.

“Pembeli kenderaan curi ini akan dibekalkan dengan geran kenderaan palsu,” katanya.

Mazlan berkata hasil siasatan mendapati kumpulan ini dipercayai aktif melakukan jenayah curi kenderaan sejak awal tahun ini dan dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, polis telah menyelesaikan sebanyak lima kes curi kereta di sekitar Kuala Lumpur.

“Kesemua suspek negatif ujian saringan air kencing manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah,” katanya menambah kesemua suspek direman empat hari bermula Selasa hingga esok (24 Julai) untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button