Berita UtamaUtama

Jerebu: Sri Aman masih bahaya

IPU Sarikei, Samarahan, Kuching msing-masing turun 221, 216, 243

KUALA LUMPUR, 20 Muharram 1441H, Jumaat -Tahap kualiti udara di kawasan Sri Aman, Sarawak terus kekal dalam kategori berbahaya, dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 415 setakat 12 tengah hari ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di kawasan berkenaan hanya menunjukkan sedikit penurunan berbanding 420 yang dicatat pada 10 pagi tadi, iaitu bacaan tertinggi setakat ini.

Bagaimanapun, tiga lagi kawasan di negeri itu iaitu Sarikei, Samarahan dan Kuching masing-masing mencatatkan penurunan dalam bacaan IPU iaitu 221, 216 dan 243 berbanding 235, 218 dan 250 pada 7 pagi tadi, walaupun kekal pada tahap sangat tidak sihat.

Dalam pada itu, kualiti udara di Sibu, Sarawak direkodkan bertambah baik dengan bacaan IPU berkurangan daripada 202 (sangat tidak sihat) pada 8 pagi tadi kepada 186, walaupun masih dalam kategori tidak sihat.

Turut merekodkan bacaan tidak sihat dengan IPU melebihi 100 iaitu Tasek Ipoh (138) dan Pegoh Ipoh di Perak (107), dua kawasan di Kuala Lumpur iaitu Batu Muda (158) dan Cheras (146) serta Putrajaya (132).

Turut mencatat bacaan tidak sihat ialah lima kawasan di Selangor iaitu Petaling Jaya (142), Shah Alam (130), Klang (118), Banting (109) dan Johan Setia Klang (150); dan dua kawasan di Negeri Sembilan iaitu Nilai (130) dan Seremban (110).

Selain itu, satu stesen di Johor dan Terengganu iaitu Segamat (101) dan Besut (112) serta empat kawasan di Sarawak iaitu Miri (103), Bintulu (108), Mukah (114) dan Sibu (186) turut merekodkan bacaan tidak sihat.

Sementara itu, 46 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatatkan IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close