Berita UtamaPendapatUtama

Jerebu: Kerosakan gagal dikawal

Pembakaran ladang, hutan skala besar antara masalah utama jerebu

KAMI memandang serius gejala jerebu yang kini semakin parah berlaku di negara ini dan kini melanda rantau ini.

Sekali lagi pencemaran udara toksik ini melanda negara. Jenis pencemaran dan sumbernya diketahui, namun pencegahannya gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Pada 1997, jerebu sangat buruk berlaku dirantau ini sehingga Persetujuan Asean (Asean Agreement) dimeterai antara anggota negara mengenai pencemaran jerebu merentas sempadan pada 2002.

Kini, pada 2019 negara dilanda sekali lagi gejala jerebu yang serius dan pihak berwajib tidak dapat mengawal pencemaran jerebu toksik itu merentas sempadan.

Soalnya, apa terjadi kepada mekanisme kawalan yang dimeterai dalam persetujuan Asean itu ?

Ini bukan kali pertama ia berlaku. Sudah hampir setiap tahun pembakaran ladang oleh syarikat perladangan kelapa sawit dijalankan dan ia diketahui menghasilkan jerebu.

Ketelusan untuk menguatkuasa peraturan nampaknya tidak ada.

Syarikat perladangan yang beroperasi di luar negara belum cukup dipantau sehingga punca sebenar jerebu separah sekarang tidak ditangani.

Malaysia sendiri belum mempunyai mekanisme perundangan mengawal pencemaran merentas sempadan. Lantaran itu, persetujuan Asean itu dilihat hanya pernyataan diatas kertas. Perlu ada suatu peraturan diperingkat dalam negara sendiri yang dapat menangani isu jerebu dari puncanya.

Pencemaran jerebu mengakibatkan lebih 1000 sekolah ditutup beberapa hari yang lalu terutama di Sarawak dan beberapa negeri di semenanjung. Suatu situasi yang tidak pernah berlaku separah ini.

Pembacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencecah melebihi 200 diberapa kawasan menandakan negara berada keadaan berjaga-jaga untuk mengistihar bencana alam.

Berdasarkan statistik global terkini, Malaysia menduduki tempat teratas didunia dalam pencemaran udara.

Berdasarkan cerapan IPU oleh World Air Quality Index (WAQI) pada Rabu jam 6.20 pagi, Malaysia mencatat bacaan IPU 266.

Ia adalah bacaan tertinggi di dunia, diikuti Afrika Selatan (217), Indonesia (207), India (194) dan China (178).

Jelas, isu ini perlu ditangani diperingkat ASEAN yang melibatkan punca fizikal, perundangan dan politik.

Wawasan ASEAN bagi rantau bebas jerebu menjelang 2020 memerlukan keazaman politik yang tinggi untuk mencapainya dikalangan negara anggota.

Ketelusan dan integriti menjadi isu yang sering dipertikai oleh awam, apabila dikait dengan kemahuan politik pemimpin negara serta ketegasan bertindak dikalangan penguatkuasa.

Bukan sahaja komitmen setiap negara, malah mekanisme penguatkuasaan secara undang-undang perlu diwujudkan. Tidak guna hanya menyatakan komitmen tanpa ada mekanisme yang telus, berintegriti dan berkesan.

Dalam isu ini, pembakaran ladang dan hutan berskala besar menjadi masalah utama jerebu rentas sempadan. Pemerintah negara yang berkenaan perlu bertindak hatta terhadap syarikat luar yang menjadi pemilik syarikat .

Usaha pencegahan oleh pihak Indonesia, mahu tidak mahu perlu diusahakan dan kerajaan Malaysia perlu siasat jika memang ada syarikat milik Malaysia yang terbabit dalam pembakaran terbuka itu.

Untuk menghasilkan jerebu berskala ini bukan dari petani kecil. Ia adalah akibat pembakaran ladang beribu hektar oleh syarikat perladangan yang besar.

Tindakan yang berkesan supaya jerebu tidak berulang dirantau ini dengan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan berkesan hendaklah diimplementasikan.

Lebih 4,000 titik panas dikesan di kawasan tengah dan barat Indonesia menunjukkan betapa kesan pembakaran merebak luas dikawasan yang berkaitan.

Tindakan kerajaan Indonesia dilaporkan menyita ladang termasuk konsesi milik syarikat asing, berhubung pembakaran terbuka dialu-alukan.

Yang penting punca masalah dikenalpasti dan saling tuduh-menuduh dielakkan.

Semua pihak perlu bersikap objektif berdasarkan fakta dan data serantau Pusat Meteorologi Khas ASEAN yang menunjukkan asal asap kebakaran berpunca.

Siasatan berhubung latar belakang ladang milik Malaysia yang beroperasi di Indonesia juga tidak boleh diketepikan.

Apa yang mustahak ialah melaksanakan kerjasama pencegahan dan pembenterasan serta memulihkan keadaan.

Inisiatif melindungi hutang dan kawasan tanah yang mudah terbakar hendaklah dilaksanakan seperti dalam memorandum persefahaman antara kedua-dua negara berhubung penggunaan tanah dan latihan pengurusan kebakaran.

Apa yang berlaku di Amerika Latin perlu diambil pengajaran. Bukan sahaja beribu hektar hutan musnah, malah ia membawa kesan kepada perubahan cuaca dunia.

Apapun sebagai negara Islam, Malaysia dan Indonesia perlu ada kesedaran untuk menghindari petaka yang berpunca asal dari kerakusan dan ketamakan manusia yang merosakkan alam.

Surah Ar Rum ayat 41 mengingatkan:

“Telah nampak kerusakan di daratan maupun di lautan dalam kehidupan manusia dengan berkurangnya penghasilan dan di dalam diri mereka dengan timbulnya berbagai penyakit dan wabak, disebabkan karena kemaksiatan yang mereka lakukan. Hal itu timbul agar Allah merasakan kepada mereka balasan dari perbuatan buruk mereka di kehidupan dunia dengan harapan agar mereka kembali kepada-Nya dengan bertaubat.”

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM

Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net. Kenyataan ini pertama kali disiarkan dalam Facebook penulis.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close