Berita UtamaUtama

Jerebu ancam kesihatan

Keadaan jerebu akibatkan batuk, sakit tekak, mata berair

MELAKA, 20 Muharram 1441H, Jumaat – Keadaan jerebu di Melaka bukan sahaja membahayakan keselamatan nelayan khususnya di Pantai Puteri, malah menjejaskan kesihatan dan pendapatan mereka berikutan hasil tangkapan laut berkurang.

Mohd Ismail Hasan Mohd Amran, 28, dari Kampung Pengkalan Lanjut Tanjong Kling, di sini, yang telah bekerja sebagai nelayan kira-kira dua tahun berkata, keadaan jerebu yang tebal mneyebabkan pukat tunda atau jaring yang digunakan untuk menangkap hasil laut tersangkut pada kapal besar.

“Keadaan jerebu di tengah laut lebih tebal dan menyebabkan jarak penglihatan terbatas dan apa-apa boleh berlaku terutama jika laut bergelora.

“Ia berbeza dengan di darat dan walaupun belum pernah berlaku sebarang kejadian mencemaskan pada saya tapi kena lebih berhati-hati… saya akan lihat dulu keadaan jerebu atau laut sebelum turun menangkap ikan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dua hari lepas, media melaporkan dua anak-beranak, Putih Dagang, 62, dan Mohd Shahrul Nizam, 33, hilang pandu arah sehingga sesat ke perairan Indonesia ketika menangkap ikan di perairan Pantai Puteri akibat jerebu tebal, sebelum bot yang dinaiki mereka kehabisan petrol.

Muhammad Helmi Mansor, 27, dari Kampung Bukit Darat berkata, keadaan jerebu di laut menyebabkan sistem pernafasan terganggu dan mudah mengalami sesak nafas dan sakit dada terutama jika berada terlalu lama di laut.

Beliau yang baharu sebulan lebih turun ke laut membantu nelayan menangkap ikan berkata, keadaan itu juga menyebabkannya mudah batuk dan sakit tekak selain mata berair.

“Selalunya kalau turun ke laut tidak kisah sangat berapa lama, tetapi masa jerebu ni kalau boleh memang akan balik cepat berbanding kalau bukan waktu jerebu.

“Selain itu, kami sekadar menjaring di kawasan berhampiran dan walaupun hasil tangkapan agak kurang tetapi keselamatan lebih utama,” katanya.

Sementara itu, Farezal Othman, 46, dari Kampung Pengkalan Perigi berkata, keadaan jerebu di laut kali ini lebih teruk berbanding tahun sebelum ini dan nelayan perlu lebih berhati-hati dengan pergerakan kapal besar.

“Sekiranya pukat atau jaring tersangkut pada kapal besar, lebih baik selamatkan diri kerana bot kecil berbanding kapal lain di laut. Biar rugi janji selamat,” katanya yang telah lebih enam tahun menjadi nelayan.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close