Berita UtamaUtama

Jual MyKad: JPN P.Pinang kerjasama dengan polis

'Pegawai terbabit jual MyKad tak ceminkan imej JPN negeri'

GEORGE TOWN, 19 Muharram 1441H, Khamis – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang sedia memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat kes penjualan kad pengenalan secara tidak sah, kepada warga asing yang membabitkan pegawai jabatan itu.

Pengarah JPN negeri Nur Zulfa Ibrahim berkata, meskipun beliau sepatutnya tidak mengulas mengenai kes itu kerana ia sedang dalam proses pertuduhan di mahkamah, namun pihaknya komited membantu siasatan pihak polis.

“Kes ini kini masih dalam proses mahkamah, jadi saya tidak boleh ulas tetapi sebagai seorang pengarah JPN, saya ingin menegaskan bahawa salah laku seorang pegawai ini tidak mencerminkan imej JPN negeri secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas majlis Fiesta Perkahwinan Beramai-ramai JPN Pulau Pinang yang dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Pada 12 September lepas, Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang Mohd Faizul Arifin, 34, adalah antara enam individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran, serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

Faizul bersama empat lelaki Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36; Yap Cheng Wah, 43, dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, masing-masing didakwa atas dua pertuduhan utama mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, manakala seorang ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56, dituduh atas tiga pertuduhan utama mengikut seksyen yang sama.

Terdahulu, seramai 24 pasangan terdiri daripada enam pasangan India dan 18 Cina mendaftarkan perkahwinan mereka sempena tarikh 19 September 2019, yang dianggap istimewa.

R.Muniyandi, 42, berkata, beliau memilih tarikh ini sebagai simbolik kerana ia akan menyimpan kenangan indah bersama pasangannya Phatsawee Srisena, 42, dari Phuket, Thailand.

Muniyandi yang juga ahli perniagaan berkata, beliau mengenali pasangannya ketika sedang bercuti di Phuket tiga tahun lepas dan kisah cinta mereka seperti cinta dalam pandang pertama.

“Selepas balik dari percutian itu, kami teruskan hubungan itu melalui media sosial dan selepas tiga tahun bercinta, saya telah bersedia untuk mendirikan rumah tangga bersama Phatsawee pada tarikh yang akan meninggalkan kenangan luar biasa,” katanya.

Menurut JPN Pulau Pinang, pendaftaran perkahwinan di negeri ini merekodkan peningkatan dalam beberapa tahun lepas, di mana 655 pendaftaran perkahwinan dicatatkan pada tahun 2017, 748 pada tahun lepas dan sehingga Ogos tahun ini, sejumlah 545 pendaftaran telah direkodkan. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close