Berita UtamaUtama

Jerebu: Enam stesen di Sarawak catat IPU sangat tidak sihat

Kebakaran hutan akibatkan jerebu rentas sempadan, tingkatkan IPU

PUTRAJAYA, 19 Muharram 1441H, Khamis – Tiada stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik hari ini, dengan enam stesen di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat, demikian kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Enam stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat pada 11 pagi hari ini ialah Kuching (272), Samarahan (226), Sri Aman (212), Sarikei (236), Sibu (244) dan Mukah (207).

“Ini adalah disebabkan oleh jerebu merentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan perladangan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia,” kata JAS dalam satu kenyataan, hari ini.

JAS berkata, 39 stesen mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, manakala 23 stesen mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana.

Katanya, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia, bahagian barat Sarawak dan sekitar kawasan Tawau dan Sandakan, Sabah.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close