Berita Utama

Siasatan berkait industri ayam sedang berjalan: MyCC

Pihak rasa terlibat amalan kartel digesa tampil sebelum disiasat

KUALA LUMPUR, 27 Ramadan 1443H, Jumaat – Siasatan berkaitan industri ayam sedang dijalankan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail. 

Beliau berkata, siasatan hanya menumpukan kepada sekumpulan pemain industri yang terbabit dalam kes itu.

Jelasnya, siasatan tertumpu kepada pihak berkenaan susulan tingkah laku mereka mungkin menimbulkan isu persaingan tertentu mengikut Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

“Kami berharap semua pihak memahami kerumitan penyiasatan kerana ia membabitkan ramai pemain dalam rantaian bekalan yang luas dengan pelbagai subsektor.

“Penyiasatan yang teliti dan terperinci diperlukan dan ia mungkin mengambil masa. Pada masa sama, kami ingin mengulangi bahawa siasatan kami sedang berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga menegaskan, anggapan bahawa MyCC sedang menyiasat ahli politik tertentu adalah spekulasi semata-mata.

Selain itu, katanya, terdapat juga kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai definisi ‘kartel’ mengikut Akta Persaingan 2010.

Iskandar berkata, sebuah kartel dibentuk melalui perjanjian sulit antara pesaing dalam pasaran yang sama.

“Jadi, sebelum mana-mana kartel boleh dibentuk, perlu ada sekurang-kurangnya dua pesaing yang bersetuju bersekongkol antara satu sama lain, untuk tidak bersaing dalam pasaran berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya kumpulan pesaing itu bersetuju menetapkan harga produk mereka pada harga sama atau membahagikan pasaran mereka atau mengehadkan pengeluaran mereka.

“Kartel bukanlah monopoli dan begitu juga sebaliknya. Monopoli adalah satu perusahaan yang mempunyai kawalan sepenuhnya dalam sesuatu pasaran produk atau perkhidmatan.

“Jika terdapat lebih seorang pemain dalam pasaran terbabit, satu atau lebih daripada satu perusahaan boleh berada dalam kedudukan dominan jika mereka memegang kira-kira 60 peratus pasaran.

“Jadi, percubaan untuk menyamakan kartel dan monopoli sebagai satu konsep sama adalah salah sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya telah mendapat kerjasama yang padu daripada pihak tertentu. 

“Kami menggalakkan pihak yang merasakan mereka terlibat dalam amalan kartel dalam industri ayam untuk datang ke MyCC untuk memohon kelonggaran di bawah Seksyen 41 Akta Persaingan 2010 sebelum mereka disiasat”, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button