Berita UtamaUtama

Bilal rebah selepas azan Isyak

'Arwah suka senyum, baik hati, suka tolong orang': Imam

BANGI, 19 Muharram 1441H, Khamis – Bilal sukarela Masjid An-Nur Felda Teloi Timur, Ahmad Saad rebah selepas selesai azan solat Isyak, malam ini.

Seorang jemaah yang mahu dikenali sebagai Muhammad Hafis berkata, Allahyarham rebah ketika selesai mengazankan solat Isyak kira-kira jam 8.30 malam tadi.

“Tadi sebelum azan, arwah minta salah seorang daripada jemaah untuk azan. tapi jemaah berkenaan minta arwah yang azankan.

“Arwah pun pergi laungkan azan. Tapi, azan dia kali ini lain dari yang lain, tinggi suara dia,” katanya.

Sementara itu, Imam Masjid, Mokhtarizam Ishak berkata, arwah rebah di hadapannya ketika mengangkat takbir solat sunat.

“Saya pergi ke tempat arwah. Saya dan jemaah lain ajar arwah mengucap dua kalimah syahadah. Tidak sampai beberapa minit kemudian, beliau meninggal dunia,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keperibadian arwah, Mokhtarizam berkata, arwah menjadi bilal secara sukarela dan selalu datang ke masjid itu untuk melaungkan azan.

“Apa yang saya boleh cakap, arwah seorang yang suka senyum selain baik hati dan suka tolong orang lain,” katanya.

Jenazah Allahyarham Ahmad akan dikebumikan pada jam 11 pagi esok di Tanah Perkuburan Felda Teloi Timur, Kuala Ketil, Kedah.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close