Berita UtamaDuniaUtama

VIDEO | Rejim Zionis bunuh wanita Palestin tanpa sebab

Israel halang mangsa tembakan diberi rawatan perubatan

BAITULMAQDIS, 19 Muharram 1441H, Khamis – Pasukan keselamatan Israel bertindak kejam menembak seorang wanita Palestin tanpa alasan kukuh di pusat pemeriksaan Qalandia, di Tebing Barat yang diduduki semalam.

Agensi Berita Palestin, Wafa memetik sumber sebagai berkata, pasukan keselamatan Israel yang ditempatkan di pusat pemeriksaan itu melepaskan tembakan ke atas wanita berkenaan sekali gus mencederakannya, walaupun beliau tidak menimbulkan ancaman segera seperti yang jelas terpapar dari klip video yang diambil oleh rakyat Palestin.

Video tular di media sosial – disahkan sahih oleh Middle East Eye – menunjukkan seorang wanita bersendirian berhadapan dengan beberapa lelaki memakai pakaian seragam keselamatan persendirian dengan memegang senjata. Bunyi tembakan kedengaran dalam video berkenaan, sebelum wanita itu rebah.

Saksi berkata, wanita itu ditembak sebanyak empat kali selepas melalui lorong pejalan kaki di Qalandia, pos pemeriksaan paling penting Israel memisahkan Baitulmaqdis Timur dari Tebing Barat.

“Wanita itu seperti memasuki bahagian yang salah di pusat pemeriksaan dengan berjalan kaki dan cuba untuk ke laluan bas,” kata saksi kejadian, Mohammed Hammad Jaradat.

Pasukan keselamatan Israel kemudiannya menjerit kepada wanita itu dan mengejarnya. Pada masa itu, wanita berkenaan bertindak mengangkat pisau kecil, kata beliau.

“Mereka boleh mengawalnya. Mereka adalah lima askar dan dia berada dalam jarak tujuh meter. Tetapi mereka sengaja membunuhnya dan menakutkan rakyat Palestin yang menyeberangi pusat pemeriksaan setiap hari di antara Ramallah dan Baitulmaqdis,” kata Mohammed.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan wanita itu yang masih tidak dikenali identitinya, meninggal dunia akibat cedera parah di hospital Israel di Baitulmaqdis Timur.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dalam satu kenyataan berkata, tentera Israel menghalang pasukan perubatannya untuk memberi rawatan kepada wanita itu.

Sementara jurucakap polis Israel mendakwa, wanita berkenaan cuba melakukan serangan tikaman di pusat pemeriksaan Qalandia. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close