Berita UtamaDunia

Ahli Parlimen Jordan doakan kejatuhan rejim Assad

Rejim itu tak patuhi hak air kerajaan Jordan, bina 23 empangan baharu di Sungai Yarmouk

AMMAN, 11 Ramadan 1443H, Rabu – Seorang Ahli Parlimen Jordan mengkritik keras rejim Bashar Al-Assad di Syria dan mendoakan kejatuhannya, di kala kerajaan Jordan cuba memperbaiki dan memulihkan hubungan penuh dengan rejim itu.

Semasa sesi perbahasan Dewan Perwakilan Jordan semalam, Ahli Parlimen, Ali Al-Khalayleh berkonfrontasi dengan kerajaan tentang pencabulan hak air Jordan oleh rejim Syria.

Beliau menyatakan bahawa ‘rejim itu tidak mematuhi hak air kerajaan Jordan, malah ia telah membina 23 empangan baharu di Sungai Yarmouk, mengalirkan lembangan air di sempadan, dan menggali telaga dekat dengan sempadan.’

“Kita perlu bergerak mempertahankan hak air kita di hadapan masyarakat antarabangsa, Arab dan Islam.

“Saya berdoa kepada Tuhan untuk menghapuskan rejim ini yang menindas anak-anak kita di Syria,” kata Al Khalayleh

Komen Al-Khalayleh mengenai pencabulan hak air telah disahkan oleh Menteri Air dan Pengairan Jordan, Muhammad Al-Najjar.

Muhammad mengakui bahawa rejim Syria telah melebihi bahagian air mereka – mengalir dari sungai Yarmouk – dan melanggar perjanjian air 1987 yang menetapkan bahawa Jordan akan membina empangan dengan kapasiti 220 juta meter padu manakala Syria akan membina sekitar 25 empangan untuk pengairan, dengan syarat ia akan mendapat manfaat daripada kuasa elektrik yang dijana oleh empangan Al-Wehda.

Di sebalik pengakuan itu, bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pentadbiran Tempatan, Tawfiq Krishan, menuntut ungkapan Al-Khalayleh yang menyatakan ‘gesaan supaya rejim Syria pergi’ dihapuskan.

Undian kemudiannya diadakan, dan diputuskan bahawa frasa tersebut dibuang daripada rekod mesyuarat sesi.

Sebelum undian itu, Al-Khalayleh mempertahankan komennya dengan mengatakan bahawa “Rejim Assad cuba untuk membunuh Raja Hussein, dan membunuh Perdana Menteri Lubnan, Rafik Hariri. Ia adalah rejim jenayah, dan ini adalah fakta.”

Ini bukan kali pertama Ahli Parlimen itu berdepan masalah berhubung kritikannya terhadap Assad. Pada 2011, pada permulaan revolusi Syria, beliau menerima ugutan bunuh selepas menggelar rejim Syria sebagai ‘rasuah dan berdarah’ dalam satu ucapan.

Kritikan Ahli Parlimen dan penyingkiran komennya pula dibuat di tengah-tengah hubungan yang semakin hangat antara Amman dan Damsyik, berikutan bertahun-tahun kecaman Jordan terhadap tindakan keras pasukan keselamatan Syria kepada tunjuk perasaan aman, yang menyebabkan Kerajaan itu memutuskan hubungan dengan rejim.

Sejak tentera Syria – dengan bantuan sekutu mereka, Rusia dan Iran – menawan semula sebahagian besar negara itu beberapa tahun lalu, negara Arab di rantau itu, seperti Mesir dan Jordan, telah memulihkan hubungan mereka dengan Assad.

Bahkan, tahun lalu, Jordan membuka semula sepenuhnya lintasan sempadan utamanya dengan Syria dan memulakan semula penerbangan terus ke Damsyik.

Amman juga telah menyertai usaha untuk menyokong kembalinya Damsyik ke Liga Arab, dan Raja Jordan Raja Abdullah mengadakan panggilan telefon pertamanya dengan Assad pada Oktober selepas sedekad. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button