Berita UtamaDuniaUtama

Lebih 4,000 ditahan sejak India batal status khas Kashmir

Bekas Ketua Menteri Jammu Kashmir ditahan 2 tahun tanpa dibicara

NEW DELHI, 18 Muharram 1441H, Rabu – Bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, yang dahulunya dilihat sebagai pro-India, secara rasmi ditangkap mengikut undang-undang yang membolehkannya ditahan sehingga dua tahun tanpa didakwa, kata pihak berkuasa semalam.

Farooq Abdullah, 81, ditahan sejak awal bulan Ogos selepas India membatalkan status khas Kashmir, selepas mengenakan sekatan keselamatan di rantau itu. 

Pegawai kanan polis di Kashmir, Muneer Khan memberitahu AFP bahawa Farouq ditangkap secara rasmi mengikut Akta Keselamatan Awam (PSA) pada Isnin lalu.

Sehari selepas kerajaan India membatalkan status istimewa Kashmir, Abdullah memanjat tembok rumahnya untuk menangani media dan mengutuk langkah itu. Itulah kali terakhir dia dilihat di khalayak ramai.

“Kenapa mereka (India) tidak dapat menunggu? Selepas 70 tahun, mereka menikam rakyat negeri ini.

“Kami akan bertarung, kami akan pergi ke mahkamah, kami bukan pengendali senjata api, pelempar bom tangan mahupun pelempar batu, kami percaya dengan penyelesaian yang damai,” kata Abdullah.

Difahamkan, pihak berkuasa juga sudah menahan lebih 4,000 orang, termasuk menahan puluhan ahli politik tempatan yang menyokong Kashmir sebagai sebahagian dari India. 

Awal Ogos lalu, Kerajaan India dilaporkan tergesa-gesa menghapuskan status khas Kashmir menerusi dekri presiden di bawah perubahan paling ketara dalam tempoh tujuh dekad, sekali gus mengetatkan cengkaman mereka ke atas wilayah yang didiami majoriti orang Islam .

Menteri Dalam Negeri, Amit Shah yang juga sekutu rapat Perdana Menteri, Narendra Modi memberitahu Parlimen bahawa Presiden Ram Nath Kovind telah menandatangani dekri yang memansuhkan Artikel 370 dalam Perlembagaan yang memberikan status autonomi khas kepada wilayah tersebut. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close