Berita UtamaIstimewaUtama

Jual MyKad: Pastikan tangkap jerung, bukan ikan bilis saja

Berjasa kesal sikap menteri anggap isu kepentingan awam 'picisan'

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 18 Muharram 1441H, Rabu – Kerajaan digesa mengetatkan semua prosedur permohonan dan pemberian MyKad kepada warga asing di semua peringkat bagi memastikan aktiviti penjualan kad pengenalan diri tidak lagi berulang.

Demikian saranan Ketua Penerangan Parti Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Hazwan Mohamad susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga asing baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa individu termasuk pegawai kerajaan berpangkat tinggi ditahan polis susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang.

Dalam operasi khas, beberapa kakitangan dan pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang termasuk di Putrajaya ditahan mengikut Akta SOSMA.

Berita Harian memetik sumber sebagai berkata, antara yang ditahan termasuk pegawai JPN Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat Jabatan Imigresen Pulau Pinang mengenai wanita warga China memiliki MyKad sah mahu membuat pasport Malaysia.

Difahamkan, wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun itu datang ke pejabat imigresen negeri bagi membuat pasport Malaysia sebelum mengemukakan MyKad miliknya yang sah.

Bagaimanapun, status kewarganegaraan wanita terbabit diragui sebelum imigresen bertindak membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Mengulas perkara itu, Hazwan berkata, kerajaan perlu menekankan penguatkuasaan menyeluruh bagi mengenal pasti siapa lagi pemegang MyKad yang tidak sah.

“Semakin hari semakin banyak pembongkaran yang telah dibuat melalui Jabatan Imigresen. Namun, hanya beberapa menteri sahaja yang membuat kenyataan mengecam.

“Seolah-olah ini hanya isu picisan. Sedangkan isu ini membabitkan kepentingan awam, kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa Pejabat Peguam Negara memberi keutamaan berhubung kes ini dengan mendakwa pihak terbabit.

“Dakwa bukan sahaja ‘ikan bilis’ tetapi ‘jerung’ yang terbabit! Pihak mahkamah juga perlu meletakkan prioriti perbicaraan kes ini kerana ianya membabitkan kepentingan awam dan kedaulatan negara,” tegasnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close