Berita UtamaUtama

JSJN Negeri Sembilan lupus dadah bernilai RM3.6 juta

Polis tumpas 2 kumpulan pengedar dadah negeri, tahan 9 individu

SEREMBAN, 18 Muharram 1441H, Rabu – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan (IPKNS) melupuskan pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.6 juta membabitkan 1,284 kes.

Ketua JSJN, Supt Pang Jin Lai berkata, semua kes berkenaan adalah kes bagi tempoh tahun 2000 sehingga tahun lepas dan dadah yang dilupuskan membabitkan heroin seberat 5,082.35 gram, ganja (2,915.59 gram), syabu (1,542.19 gram), ketamin (222.92 gram), pil erimin 5 (171.79 gram) dan nimetizepam seberat 43,478.08 gram.

Turut dilupuskan ialah dadah jenis pil yaba seberat 17.94 gram, methadone (0.11 liter), daun ketum (108,475.47 gram), air ketum (419.23 liter) dan lain-lain dadah sebanyak 20 botol.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media di Balai Polis Sikamat di sini, hari ini, Pang berkata semua dadah berkenaan akan dibawa ke Pusat Kualiti Alam (Cenviro) Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, dekat sini, untuk dilupuskan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya berjaya menumpaskan dua kumpulan pengedar dadah di negeri ini dengan tertangkapnya sembilan individu termasuk seorang wanita di dua kawasan berasingan, masing-masing di Seremban dan Port Dickson, dalam operasi selama lima hari bermula Rabu lepas.

“Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai jenis dadah membabitkan syabu dengan anggaran berat 288.3 gram, heroin (142.74 gram), ketamin (52 gram), pil erimin 5 (18 gram) dan pil ecstasy (12.9 gram) dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM61,000,” katanya.

Katanya, semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Pang berkata, prestasi JSJN Negeri Sembilan telah menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus iaitu membabitkan 5,749 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu 4,886 tangkapan dengan nilai rampasan termasuk aset pengedar keseluruhannya berjumlah RM4.8 juta.

JSJN katanya amat serius dalam membanteras pengedaran dadah habis-habisan dengan memfokuskan tangkapan kepada pengedar yang bergiat aktif di negeri ini. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close