Berita UtamaPendapat

Jerebu: Kesedaran sivik penyelesaian terbaik

Pembakaran berleluasa mengakibatkan kerugian tidak ternilai

JEREBU yang dihadapi oleh beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia pada hari ini adalah masalah yang berlaku saban tahun, punca utamanya adalah sikap tidak bertanggungjawab dan ambil mudah sesetengah pihak. Ia harus dipandang serius kerana boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang teruk termasuk mengakibatkan kematian.

Jerebu adalah satu fenomena di mana partikel-partikel kecil yang dapat dilihat oleh mata kasar terapung di udara. Ia boleh terjadi akibat pembakaran terbuka, asap kilang dan juga asap kenderaan. Zarah jerebu terdiri daripada asap, debu dan bahan meruap termasuk gas yang berbahaya seperti gas karbon monoksida dan nitrogen oxide.

Masalah ini dapat dilihat dengan ketara terutama ketika musim kering melanda negara di kawasan khatulistiwa iaitu bulan Julai hingga Oktober. Keadaan ini mengakibatkan tanah terutamanya kawasan gambut menjadi sangat kering dan pokok-pokok yang ditebang mudah terbakar.

Masalah pencemeran jerebu telah direkodkan seawal tahun 1970-an. Ia sering dikaitkan dengan masalah pembukaan hutan dan aktiviti pertanian terutamanya di kawasan tanah gambut dalam. Pulau Sumatera dan Kalimantan di Indonesia adalah dua lokasi utama yang sering dikenal pasti. Kejadian pada tahun 2015, adalah insiden jerebu terburuk yang pernah direkodkan.

United Nations, Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) merekodkan kejadian pada tahun 2015 di Indonesia telah mengakibatkan kerugian ekonomi sebanyak AS$ 16 billion, 2.6 juta hektar kawasan hutan gambut dan tanah lain telah terbakar, 500,000 orang menghadapi masalah penyakit berkaitan pernafasan dan dianggarkan sejumlah 100,000 kes kematian pramatang di Indonesia Malaysia dan Singapura berlaku akibat daripada jerebu.

Hakikatnya kejadian pembakaran berleluasa secara terbuka ini juga telah mengakibatkan kerugian yang tidak ternilai harganya iaitu kehilangan biodiversiti flora dan fauna dalam skala yang sangat besar (2.6 juta hektar, 2015).

Beberapa pihak saling menuding jari menyalahkan pihak lain di Indonesia dan Malaysia bila masalah jerebu berlaku.

Ketika beberapa pihak di Malaysia menyalahkan kerajaan Indonesia, pihak berkuasa negara tersebut pula menyalahkan syarikat-syarikat milik rakyat Malaysia yang didakwa telah mengakibatkan masalah ini. Sebanyak empat buah syarikat perladangan sawit telah dikatakan menyumbang kepada masalah jerebu di Indonesia. Ironinya, syarikat-syarikat tersebut adalah syarikat besar yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur dan mempunyai imej baik kerana mengamalkan polisi Amalan Pertanian Baik (GAP) seperti yang dianjurkan pihak berkuasa Malaysia.

Sehingga bulan Ogos 2019 kawasan seluas 320,8724 hektar di Kalimantan dan Sumatera telah dibakar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menurut Agensi Bencana Kebangsaan Indonesia.

Ia seolah-olah masalah yang tidak berpenghujung kerana sehingga 14 September 2019 sahaja ASEAN Specialised Meteorological Center pula telah mengenal pasti lebih kurang 10 titik panas di Sabah dan Sarawak dan 627 titik panas di Kalimantan Indonesia.

Timbul persoalan di minda kita sama ada syarikat-syarikat perladangan ini mengamalkan polisi pertanian mesra alam secara ikhlas atau sekadar melepaskan batok di tangga? Namun persoalan ini masih bersifat spekulasi sehingga mereka dijatuhkan bersalah oleh pihak pengadilan.

Walaupun pencemaran jerebu banyak disumbangkan oleh aktiviti pertanian, namun masyarakat umum juga telah menyumbang kepada masalah ini dengan melakukan pembakaran terbuka ketika musim kering, membuang puntung rokok di kawasan mudah terbakar seperti kawasan hutan gambut dan penggunaan kenderaan berenjin petroleum secara tidak efisien.

Cadangan yang lazim diberikan oleh kebanyakan pihak apabila berhadapan dengan sebarang masalah adalah penguatkuasaan undang-undang. Ia termasuk dengan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan atau menambah jumlah hukuman agar menakutkan pihak yang ingin melakukan kesalahan tersebut.

Namun natijahnya indah khabar dari rupa.

Contohnya masalah pembuangan sampah yang berleluasa di kawasan bandar sepatutnya dapat dibendung dengan penguatkuasaan Akta 133, 1974. Akta ini memperuntukkan denda sehingga RM 1,000 kepada pesalah yang membuang sampah merata-rata. Namun masalah pembuangan sampah merata-rata masih berterusan. Jarang sekali kita mendengar atau melihat mana-mana pihak didenda kerana didapati bersalah membuang sampah merata-rata.

Jadi apabila kita bercakap mengenai penguatkuasan undang-undang, beberapa perkara pokok pasti dihadapi seperti kurangnya iltizam pihak pemerintah, sedikitnya bilangan penguatkuasa, kelemahan teknikal aktiviti penguatkuasaan dan masalah rasuah.

Oleh yang demikian, penyelesaian jangka panjang masalah ini hanya boleh dicapai melalui proses pendidikan sivik yang berterusan. Rakyat harus diajar menjadi bertanggungjawab dan membenci tindakan tidak bermoral yang boleh mengundang masalah jerebu. Mungkin rakyat harus diajar membenci tindakan tidak bermoral itu seperti membenci penyalahgunaan dadah di negara ini. Tidakkah kita tidak rasa bersalah jika tindakan kita boleh mengakibatkan kematian dengan jumlah yang sangat besar?

Langkah pendidikan kepada masyarakat umum inilah yang telah diambil oleh UNESCO di Indonesia ketika menghadapi masalah jerebu pada tahun 2015.

Namun, cadangan di atas tidak sesekali membebaskan kerajaan daripada tanggungjawab membendung masalah ini atas kapasiti membuat dasar dan penguatkuasa undang-undang.

Islam mempunyai penyelesaian yang tuntas terhadap masalah ini.

Allah telah mengingatkan kita dalam Surah al-An’am ayat ke 38 “Dan tidaklah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang berterbangan dengan dua sayapnya, melainkan ummat (juga) seperti kamu. Tiadalah Kami alphakan suatu pun dalam al-kitab kemudian kepada Tuhan mereka dihimpunkan.” Amaran daripada Baginda juga kita tahu iaitu “Barangsiapa yang menebang tanpa alasan yang dibenarkan maka tuhan akan mengirimnya ke neraka”, hadis riwayat Tarmizi.

Panduan daripada al-quran dan hadis di atas mengingatkan umat Islam secara umum dan kerajaan secara khusus agar merasa bertanggungjawab dengan tingkah laku mereka. Mereka diancam dengan seburuk-buruk balasan iaitu neraka jika melakukan sebarang kemungkaran hatta cuma menebang atau membiarkan sebatang pokok ditebang tanpa tujuan.

Ini adalah setinggi-tinggi nilai sivik yang boleh dicapai melalui pendidikan. Anggota masyarakat harus ditanam dengan kegerunan terhadap ancaman Tuhan. Ia bakal mengubah tingkah laku mereka.

Pengerusi Komuniti Penyelidik Sumber Asli dan Alam Sekitar (SALAM)
Dr Kamil A Tohiran

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close