Berita UtamaUtama

Cari dalang sindiket MyKad

Rakyat nak tahu jumlah MyKad djual ikut pintu belakang

BANGI, 18 Muharram 1441H, Rabu – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat dalang utama di sebalik sindiket penjualan kad pengenalan Malaysia (MyKad) kepada warga asing.

Menyifatkan kes ini sebagai suatu tragedi, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, penubuhan RCI sangat diperlukan pada waktu ini memandangkan ia membabitka  kepentingan awam. 

Tambahan pula, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan medianya turut memberikan indikasi bahawa sindiket ini belum ditumpaskan sepenuhnya kerana masih ada ahli-ahli sindiket yang masih bebas.

“Banyak persoalan yang memerlukan kepada siasatan yang bebas daripada pengaruh politik. Rakyat mahu tahu apa motif utama MyKad ini diberikan secara besar-besaran? Berapakah jumlah sebenar MyKad yang telah dijual dan apa status pemegang MyKad secara pintu belakang ini? 

“Adakah mereka akan didaftarkan sebagai pengundi secara automatik pada pilihan raya akan datang? Adakah ribuan MyKad yang diperoleh secara tidak sah ini hanya dikeluarkan di Pulau Pinang sahaja, bagaimana pula dengan negeri-negeri lain? Adakah lebih ramai pegawai JPN yang terlibat?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, PDRM mendedahkan penahanan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN Pulau Pinang yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Siasatan mendapati ejen sindiket akan mencari warga asing yang ingin mendapatkan kewarganegaraan Malaysia dan proses akan diuruskan oleh seorang individu di JPN Pulau Pinang selain dipercayai sindiket itu memperoleh bayaran antara RM100,000 sehingga RM600,000 daripada warga asing.

Bimbang dengan kes itu, Ahmad Amzad berkata, pemberian MyKad kepada warganegara asing ini juga ummpama bom jangka kepada penduduk tempatan. 

“Sejak sekian lama, media melaporkan warganegara asing ini telah terlibat dengan pelbagai jenayah. Pemerdagangan manusia, sindiket judi atas talian, sindiket jual emas palsu dalam talian, penyeludupan dadah sehinggalah kepada sindiket pelacuran di premis-premis maksiat. 

“Bahkan, pada tahun 2008, terdapat cubaan seorang warganegara asing di Sabah yang telah menggunakan kad pengenalan diri palsu untuk memohon menjadi anggota tentera. 

“Keadaan ini dilihat sangat membimbangkan kerana melibatkan kedaulatan Malaysia dan mengancam keselamatan negara,” katanya.

Paling mengejutkan, katanya, adalah apabila Penolong Pengarah JPN, Datuk Lai Chin Wah sendiri telah ditangkap atas dakwaan terlibat dengan sindiket ini. 

“Sekiranya sindiket ini tidak terbongkar, bayangkan apa akan jadi kepada Pulau Pinang apabila individu ini dinaikkan pangkat kelak. 

“Tanpa suruhanjaya siasatan yang bebas, saya khuatir penangkapan pegawai tinggi JPN ini hanyalah untuk menutup siapa pengkhianat sebenar yang menyerahkan negara kepada yang tidak berhak,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close