Berita UtamaDuniaUtama

Arab Saudi jual bangunan tempat pembunuhan Khashoggi

Harga jualan hanya satu pertiga daripada nilai sebenar bangunan

RIYADH, 18 Muharram 1441H, Rabu – Arab Saudi telah menjual bangunan konsulat di Istanbul, lokasi di mana wartawan terkenal, Jamal Khashoggi terbunuh tahun lepas, kata penyiar Turki.

TV Habeturk melaporkan, bangunan itu, yang terletak di kejiranan Levent kelas atas, telah dijual lebih dari sebulan lalu kepada pembeli yang tidak didedahkan namanya dengan harga satu pertiga daripada nilai sebenarnya.

“Sebuah bangunan baru untuk konsulat telah dibeli di daerah Sariyer, yang juga menjadi tuan rumah Konsulat AS,” katanya.

Penyiar Turki mengatakan bahawa pihak berkuasa Arab Saudi memerlukan kelulusan dari kementerian luar Turki sebelum meneruskan penjualan hartanah.

Bagaimanapun, seorang pegawai di Kementerian Luar Turki memberitahu Middle East Eye bahawa Turki tidak mempunyai maklumat untuk mengesahkan penjualan itu.

“Arab Saudi juga cuba menjual kediaman rasmi konsul umum, yang terletak sangat dekat dengan konsulat tetapi mereka masih belum menemui pembeli,” katanya.

Khashoggi, yang melarikan diri ke Amerika Syarikat tahun lalu, dibunuh sepasukan anggota perisikan dari Riyadh, ketika memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Sebelum ini, Arab Saudi memberi pelbagai versi kenyataan berhubung kehilangan Khashoggi, termasuk mendakwa penulis itu sudah keluar dari pejabat konsulat berkenaan selepas urusannya selesai.

Bagaimanapun Al-Jazeera melaporkan, mayat wartawan itu mungkin dibakar dalam relau besar di kediaman konsulat Arab Saudi. Pegawai Turki memberitahu, proses membakar mayat Jamal berlaku dalam tempoh tiga hari.

Penyiasat Turki juga mendapati terdapat kesan darah Jamal di dinding pejabat konsulat Arab Saudi, selepas menanggalkan lapisan cat baharu bagi menutup pembunuhan kolumnis Washington Post itu. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close