Berita UtamaUtama

Jual rumah kepada warga asing dapat pulih ekonomi negara?

Cadangan menteri buka ruang jutawan warga asing kaut keuntungan

BANGI, 17 Muharram 1441H, Selasa – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sepatutnya memikirkan langkah bernas dan proaktif untuk menyelesaikan isu lambakan rumah yang tidak mampu dibeli oleh warga tempatan, daripada menjualnya kepada warga asing, tegas Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

Beliau berkata, cadangan menganjurkan kempen pemilikan rumah di negara ini kepada warga China atau Hong Kong dilihat sengaja membuka ‘ruang’ kepada jutawan warga asing untuk mengaut keuntungan. 

Malah, katanya, ia juga menjadi satu kebimbangan pelbagai pihak kerana secara langsung harga rumah akan melonjak naik dan tidak masuk akal, sekali gus menghilangkan kemampuan rakyat sedangkan pendapatan isi rumah tidaklah memberangsangkan sejak sekian lama.

“Persoalan timbul, adakah akan wujud peningkatan jumlah hartanah yang dimiliki oleh warga asing di negara kita memandangkan menteri memberitahu setakat ini hartanah milik warga asing tidak melebihi satu peratus?

“Berdasarkan laporan National Property Information Centre (NAPIC) berlaku peningkatan hartanah yang tidak terjual dalam semua kategori iaitu 54,078 unit yang bernilai RM37 juta pada tahun 2019 berbanding 51,265 unit yang bernilai RM35 juta pada tahun 2018,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan mencadangkan pembelian rumah dalam Kempen Ekspo Perumahan melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) kepada pembeli warga asing.

Katanya, ia adalah untuk menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah di negara ini yang bernilai kira-kira RM100 bilion.

Membidas cadangan itu, Che Alias berkata, menteri tidak seharusnya lebih pro kepada pemaju, sebaliknya beliau perlu mengadakan perbincangan secara holistik dengan semua pemaju supaya isu lambakan rumah yang tidak terjual dan harga rumah yang melambung tinggi dapat diselesaikan.

Bahkan juga, katanya, pemaju yang menarik pelabur Hong Kong untuk membeli hartanah di negara kita susulan krisis politik di pulau itu juga perlu dibendung sewajarnya bagi mengelakkan harga rumah terus meningkat sehingga tiada harapan rakyat tempatan untuk memiliki rumah kelak.

“Tidak hairanlah terdapat jumlah yang besar unit rumah yang baru dilancarkan tidak terjual apabila laporan NAPIC menyatakan sebanyak 32,936 unit kediaman yang bernilai RM19 milion tidak terjual pada tahun 2019.

“Saya juga ingin mempersoal jaminan sejauh mana dengan penjualan rumah mewah dapat memulihkan ekonomi negara? Saya khuatir sekiranya terdapat agenda yang tersembunyi,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close