Berita UtamaPendapatSuara UmatUtama

Hijrah dan Hijab: Nantilah, belum tiba masanya sampai seru

Enggan ikut landasan betul, Allah hukum penguasaan syaitan dalam diri

SEGALA puji bagi Allah SWT yang mempertemukan kita dengan tahun baru Hijrah 1441H. Di kesempatan dan nyawa yang masih ada, proses pembaikan diri perlu diteruskan, amal ibadah dipertingkatkan dan larangan Allah SWT dijauhkan. Buat para wanita Muslimah, sudahkah kita memenuhi perintah Allah SWT khususnya dalam perintah berhijab? Dan yang telah berhijab pula, sudahkah kita memenuhi tuntutan hijab yang digariskan syarak, menutup aurat kerana perintah Allah SWT dan bukan sekadar ikut-ikutan?

Menutup aurat, bertudung dan berhijab itu adalah suatu tindakan yang harus dilakukan dalam sedar, bukan ikut-ikutan, sekadar berfesyen atau atas dasar kerana suka dipuji sahaja. Perintah berhijab jelas disampaikan oleh Allah SWT melalui Surah An-Nur ayat 31:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Ayat ini mengandungi suruhan Allah SWT kepada wanita yang beriman untuk menundukkan pandangan daripada memandang yang haram, memelihara kehormatan diri dan menutup kepala serta seluruh tubuh badan. Para wanita beriman juga dilarang untuk memperlihatkan perhiasan diri kecuali yang zahir, iaitu muka dan tangan dan hanya boleh memperlihatkannya di hadapan mahramnya sahaja.

Kita mengaku kita seorang Islam, tetapi adakah kita telah beriman? Keimanan terbukti apabila adanya ketaatan kepada perintah Allah. Dan sebahagian bukti keimanan bagi seorang wanita Islam adalah mentaati perintah Allah dalam berhijab.

Belum Sampai Seru

Inilah kata-kata yang seringkali dilafazkan oleh segelintir wanita yang masih belum terbuka hatinya untuk berhijab. Pengetahuan tentang kewajipan hijab telah sampai di akal, tetapi malangnya ia masih belum singgah di hati. Sudah tahu tentang sesuatu belum tentu membawa kepada amal. Ketahulilah bahawa menolak hidayah itu setelah memperolehnya bermakna memberikan kuasa kepada syaitan.

Syaitan tidak berupaya menguasai jiwa manusia melainkan jika manusia itu sendiri menolak hidayah Allah SWT dan keluar daripada landasan yang telah ditetapkan-Nya.

Apabila manusia enggan mengikuti landasan yang telah ditetapkan itu, Allah SWT menghukumnya dengan penguasaan syaitan ke atas dirinya. Lalu syaitan memandunya ke landasan lain yang menjadikan manusia sesat dan tidak akan sampai ke destinasi yang dituju. Arah yang kita tuju seharusnya ke arah mencapai keredhaan Allah. Namun, syaitan telah menyimpangkan manusia yang sesat tadi dan membawa ke arah kejahatan dan kerosakan. Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zukhruf ayat 36 hingga 39 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang tidak mengendahkan peringatan (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. Sehingga apabila ia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada hari kiamat), berkatalah ia (kepada Syaitannya): “Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur dengan barat! Kerana (engkau) adalah sejahat-jahat teman”.(Lalu dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini, setelah nyata bahawa kamu telah menganiaya diri sendiri, (maka apa yang kamu cita-citakan itu) tidak sekali-kali akan memberi faedah kepada kamu, kerana sesungguhnya kamu dan teman-teman kamu itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab”.

Pada hari kiamat, pastinya manusia akan menyesali tindakannya di dunia ketika mana menuruti segala godaan dan desakan syaitan. Malah syaitan berlepas diri daripada perbuatannya dan manusia itu sendirilah yang menanggung azab dan seksaan di akhirat kelak. Mahukah kita menjadi orang yang rugi dan menyesal di akhirat kelak? Tentu sekali-kali tidak.

Tewaskan Godaan Syaitan dan Berhijrahlah

Oleh kerana itu, sentiasalah memohon bantuan daripada Allah untuk berlindung dari segala kejahatan syaitan yang durjana. Berdoalah agar diberi kekuatan untuk mengambil langkah pertama untuk berubah meninggalkan jahiliah. Jangan berfikir terlalu lama dalam melakukan kebaikan. Jangan bertangguh lagi. Masa sentiasa berjalan dan usia semakin bertambah. Jangan biarkan syaitan mengusai diri kita, tumpaskan bisikan syaitan itu, jadilah orang yang menang.

Menurut Imam Al-Ghazali, ada tiga cara menghadapi serangan syaitan:

Pertama: Mengetahui taktik tipu daya dan strategi serangannya. Selalunya tipu daya dan strategi syaitan adalah melalui bisikan waswas kepada manusia.
Kedua: Tidak memberi perhatian dan layanan terhadap hasutannya.
Ketiga: Lidah dan hati sentiasa zikrullah atau menyebut nama Allah SWT.

Jadikanlah permulaan tahun baru hijrah ini sebagai titik mula untuk memulakan pemakaian hijab. Benar, hijrah tidak mudah. Lihatlah bagaimana peristiwa hijrah Rasululaah ﷺ mengajar kita betapa sukarnya perjalanan hijrah itu. Rasulullah ﷺ menghadapi ancaman bunuh, dikejar para musyrikin, melarikan diri dan bersembunyi di Gua Thur serta pelbagai lagi kepayahan dan kesukaran sebelum sampai ke bumi Madinah.

Boleh sahaja Allah menjadikan peristiwa Hijrah itu mudah, di mana Rasullah ﷺ tidak perlu berjalan kaki dan barangkali hanya menaiki tunggangan Buraq seperti peristiwa malam Israk Mikraj. Namun, ada pelajaran yang perlu diketahui oleh umat Muhammad ﷺ. Kepayahan mengiringi hijrah agar umat ini menghargai jasa Nabi ﷺ dan mengetahui betapa mahalnya nilai untuk menegakkan kalimah Allah. Justeru, mengambil langkah pertama untuk berubah dan berhijrah akan diiringi dengan kesukaran pada permulaannya, tetapi suatu yang indah menanti di akhir sana.

Buat saudari-saudari Muslimah ku,
Adik-adik, kakak-kakak dan ibu-ibu tersayang,
Tahniah buat mereka yang telah berhijab dengan sempurna.

Namun buat yang masih belum terbuka hatinya,
Yang sudah berniat untuk berhijab namun belum melaksanakannya,
Yang sudah berhijab di kepala namun ada yang masih belum sempurna di sini dan sana,
Yang sudah berhijab namun ada masanya tutup dan buka,
Yang berhijab namun ikut keadaan dan masa,
Yang berhijab tetapi hanya kerana mengikut fesyen semata,
Atau yang sudah berhijab namun tidak tetap hati dan telah membukanya semula.

Ketahuilah bahawa hijab bukan hanya sekeping kain yang membaluti tubuh badan kita.
Hijab bukan hanya menutup aib dari pandangan manusia.
Hijab bukan hanya menjadikan maruah wanita terpelihara.
Hijab bukan hanya memuliakan seorang wanita di dunia.

Namun,
Hijab adalah bukti tunduknya kita kepada perintah yang maha Pencipta.
Hijab adalah tanda cinta kita kepada Dia.
Hijab adalah lambang ketaatan kepada Tuhan kita.

Tanyalah dirimu mengapa kamu berhijab?
Jika hanya mengharapkan pujian atau keredhaan manusia,
Hijabmu hanya sekeping kain yang tiada makna.
Sia-sia.

Berhijablah kerana ingin menjadi cantik di pandangan Allah,
Berhijablah kerana ingin merebut cinta dan keredhaan-Nya,
Setiap permulaan memang payah,
Maka harus tetapkan jiwa dan tekad untuk terus istiqamah.

Ingat, jalan hijrah menuju Allah tak pernah mudah.
Ada ranjau dan cabaran tersedia di sepanjang perjalanan.
Jangan kau rasa rendah diri dengan hijabmu.
Hiraukan segala godaan, cercaan dan makian.

Hidup di dunia ini hanya sebentar cuma.
Buat orang beriman, dunia sememangnya adalah penjara.
Rasa terkongkong dan tak boleh buat apa sahaja yang kita suka.
Namun, ada satu tempat tersedia untuk berehat dan bersuka ria.
Hanya untuk mereka yang taat pada Tuhannya
Sebuah tempat yang indah bernama Syurga.

Nur Fatin Halil
Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS)

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close