Berita UtamaUtama

Pengguna perlu bersabar kekurangan pada produk muslim

Perubahan bangunkan ekonomi orang Melayu perlu proses panjang

BANGI, 16 Muharram 1441H, Isnin – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) meminta supaya pengguna untuk bersabar jika kempen Beli Produk Muslim yang dilancarkan gerakan itu pada 2 April lalu, mempunyai kekurangan.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kekurangan yang terdapat pada produk muslim adalah satu bentuk perjuangan yang perlu ditempuh bagi menaikkan ekonomi bangsa Melayu.

“Saya akui banyak kedai-kedai yang masih tidak sempurna dari segi bilangan produknya, mungkin ada sedikit kekuranganya.

“Tapi tidak mengapa, kita bersabar sedikit, sebab perjuangan mesti ada halangan dan memang ada ada susah sedikit. Kalau nak senang jangan cakap itu perjuangan,” katanya semasa berucap ketika Pelancaran Kempen Produk Muslim Peringkat Wilayah Persekutuan dan Selangor, di ibu negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, perubahan untuk bangunkan ekonomi orang Melayu perlu melalui proses yang panjang.

“Ini sebab kita telah dijajah selama 460 tahun oleh Portugis, Sepanyol, British, dan Jepun. Nak bangun bukan ambil masa 60 tahun,tapi kita perlu bangun 400 tahun lagi untuk membentuk satu budaya dan peradaban yang tinggi seperti pada zaman kemegahan Melayu Melaka dahulu.

“Jadi, saya harap pengguna-pengguna bersabar jika ada kekurangan dan dalam masa sama saya gesa supaya peniaga-peniaga Melayu untuk ambil risiko sedikit seperti menambah pelaburan di Abata untuk menguatkan lagi apps ni,” katanya.

Mengambil contoh aplikasi Alibaba.com yang diasaskan oleh hartawan China, Jack Ma, Haji Aminuddin berkata, seramai 100 juta pelanggan dianggarkan telah melayari aplikasi itu setiap hari dan jumlah penduduk negara China adalah seramai 1.5 bilion orang.

Katanya, aplikasi berkenaan pernah mencapai hasil jualan sebanyak AS$ 27 bilion sehari, dan mustahil bagi orang biasa dapat mencapai nilai sebanyak itu.

“Jadi, saya harap sangat Abata dengan kerjasama Kohilal dapat menaikkan gerak kerja untuk menampung permintaan yang begitu banyak dan impaknya sudah pun terasa, bukan sahaja di sini, saya juga difahamkan Indonesia juga sudah mula terasa impaknya untuk bersama membantu umat Islam,” katanya.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close