Berita UtamaIstimewaUtama

Dasar liberal PH takkan lebih Melayu dari UMNO, PAS

Takkan ada pemimpin PH mampu sanggah Lim Kit Siang: Isma

BANGI, 16 Muharram 1441H, Isnin – Pakatan Harapan (PH) tidak akan mampu menjadi ‘lebih Melayu daripada UMNO dan lebih Islam daripada PAS’ kerana dasarnya yang meliberalkan dasar negara, tidak kira dari segi agama mahupun ekonomi.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya berkata, ini kerana rakyat perlu faham bahawa PH sememangnya tidak akan memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam.

Walaupun wujud pemimpin Melayu, Islam dalam pakatan – yang didominasi DAP itu -, beliau berkata, pemikiran mereka tidak lagi mahu mempertahankan hak orang Melayu, apatah lagi meningkatkan nasib bangsa dan Islam.

“Dengan bilangan majoriti YB di dalam PH adalah bukan Islam, saya tidak nampak Islam akan dimartabatkan kepada kedudukan yang tinggi, tetapi hanya sekadar dalam upacara-upacara rasmi semata-mata.

“Kenyataan Lim Kit Siang ini sudah cukup menjadi bukti akan kenyataan saya. Saya tidak jangka ada pemimpin PH yang berani menyanggah kenyataan veteran DAP itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Kit Siang mengingatkan pakatan kerajaan supaya tidak cuba menjadi ‘lebih Melayu daripada UMNO dan lebih Islam daripada PAS’ bagi menghadapi kerjasama rasmi dua parti terbesar orang Melayu itu yang ditandatangani kelmarin.

Kit Siang dilaporkan berkata, PH akan ‘gagal dan gagal’ sekiranya ia cuba berbuat demikian kerana taktik itu akan meminggirkan 5.5 juta penyokong daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama yang mengundinya dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Sabtu lalu, PAS dan UMNO secara rasmi memeterai kerjasama politik setelah hampir 60 tahun ‘berseteru’ dengan mewujudkan Piagam Muafakat Nasional.

Piagam yang ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti itu, adalah satu tatakelola kerja bagaimana kedua-dua parti harus bergerak dari sekarang hingga ke pilihan raya umum yang akan datang.

Ia antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close