Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

Muafakat Nasional kena usaha dapatkan dominasi politik Islam

DAP sedang baham segala peluang selagi mereka berkuasa: Berjasa

BANGI, 15 Muharram 1441H, Ahad – Rakyat bukan sekadar menunggu untuk mejatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH), malah mereka juga mahu tahu perubahan yang dijanjikan melalui taawun siyasi antara UMNO dan PAS.

Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Ir Ts Badhrulhisham Abd Aziz berkata, rakyat ternanti-nanti sama ada kerjasama kedua-dua parti mampu menjadi lebih baik daripada tempoh ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa atau seburuk pemerintahan PH ketika ini.

Tidak menafikan ramai yang terharu dengan kerjasama politik antara dua parti terbesar orang Melayu, sekali gus membuktikan masih ada rasa cinta dan setia pada agama dan bangsa, namun katanya, jangan alpa tentang hakikat sebenar kerosakan yang telah berlaku kepada umat.

“Kerjasama itu datang selepas kita hilang segala-galanya. Selepas lebih 60 tahun merdeka, bukan sahaja kita gagal menguasai 30 peratus daripada ekuiti negara, seperti yang disasarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), malah kita hilang dominasi politik.

“Kerajaan yang didominasi DAP kini sedang rakus menjual aset negara, merubah polisi yang menyebelahi orang Melayu dan membaham segala peluang yang ada selagi mereka berkuasa. Ketamakan mereka menyebabkan rakyat negara ini berantakan sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, UMNO dan PAS secara rasmi memeterai piagam kerjasama dua parti itu yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional.

Piagam itu ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi UMNO dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS) pada satu majlis bersempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Piagam berkenaan adalah satu tatakelola kerja bagaimana kedua-dua parti harus bergerak dari sekarang hingga ke pilihan raya umum yang akan datang.

Dr Badrulhisham percaya kerja yang perlu dilakukan oleh Muafakat Nasional untuk mendapatkan kembali dominasi kuasa di tangan orang Melayu tidak mudah, apatah lagi membina dominasi ekonomi.

“Justeru, Muafakat Nasional tidak seharusnya menghentikan semaraknya hanya di PWTC semata-mata, tetapi Berjasa juga menggesa pelan tindakan menyeluruh dilaksanakan segera bersama semua parti-parti komponen BN, Gagasan Sejahtera dan badan bukan kerajaan (NGO), demi memikirkan pelan tindakan terbaik negara pada pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

“Berjasa yakin bahwa segala impian dan cita-cita rakyat juga perlu dibawa sebagai aspirasi tertinggi Muafakat Nasional,” katanya.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close