Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

‘Siasat dalang sindiket jual MyKad sampai lubang cacing’

Tak mustahil projek MyKad babit aktiviti ekonomi gelap: Tuan Ibrahim

BANGI, 12 Muharram 1441H, Khamis – Tindakan pihak tertentu yang terbabit dalam sindiket menipu dan menjual MyKad kepada warganegara asing disifatkan sebagai perbuatan khianat serta cubaan untuk mensabotaj kedaulatan negara.

Sehubungan itu, PAS hari ini mendesak pihak berkuasa menyiasat hingga ke lubang cacing, mereka yang mendalangi sindiket penjualan MyKad berkenaan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau percaya penipuan dan penjualan MyKad yang terbongkar baru-baru ini, hanyalah isu kecil di sebalik masalah yang lebih besar dan utama.

“PAS percaya penipuan dan penjualan MyKad yang terbongkar mutakhir ini hanyalah ‘tip of the iceberg’. Tidak mustahil, projek MyKad ini turut membabitkan penjualan hartanah, aktiviti ekonomi gelap, sistem keselamatan negara dan kepentingan politik.

“Sekiranya ramai warganegara asing seperti dari China dan Hong Kong, di manakah penempatan mereka? Apakah pekerjaan dan tujuan mereka datang ke sini?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang antara enam individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini, atas 32 pertuduhan membabitkan aktiviti penjualan MyKad dan dokumen pengenalan sah kepada warga asing.

Semua mereka yang berusia 34 hingga 66 tahun berkenaan didakwa berasingan mengikut Seksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 466 Kanun Keseksaan.

Penahanan berkenaan susulan laporan yang dibuat anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri yang mengesan terdapat wanita warga China berusia antara 25 hingga 30 tahun yang memiliki MyKad sah cuba membuat pasport Malaysia.

Bagaimanapun status kewarganegaraan wanita terbabit diragui selepas gagal berkomunikasi dalam bahasa Melayu, sebelum imigresen bertindak membuat laporan polis.

Berikutan daripada laporan itu, polis melancarkan operasi sulit dan berjaya menahan beberapa individu yang dipercayai sudah menjual lebih enam keping MyKad sah membabitkan nilai RM350,000.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, PAS turut bimbang dengan ratusan ribu permohonan untuk menjadi warganegara yang didedahkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada tahun ini.

“Adakah proses tapisan yang telah ditetapkan oleh kerajaan berjalan dengan telus? Mengapa tangkapan yang telah dibuat mendapati mereka tidak tahu berbahasa Melayu?

“Dalang penipuan dan penjualan MyKad sangat jahat. Aktiviti ini pasti dikendalikan oleh komplot yang besar dan terancang. Kedaulatan negara dalam bahaya dan akan tergadai disebabkan oleh aktiviti mereka,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close