Berita UtamaDuniaUtama

Mesyuarat tergempar OIC bantah rancangan PM Israel

Malaysia kutuk Netanyahu mahu perluas penjajahan di Tebing Barat

RIYADH, 12 Muharram 1441H, Khamis – Arab Saudi menggesa mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diadakan segera susulan rancangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk memperluaskan pendudukan negara haram di Tebing Barat.

Liga Arab menganggap pengumuman itu sebagai berbahaya dan menyifatkan pencerobohan baharu rejim pengganas Israel berniat untuk melanggar undang-undang antarabangsa, kata Menteri Luar Arab Saudi selepas pertemuan di Kaherah.

Kerajaan Arab Saudi menggesa badan serta institusi antarabangsa mengutuk pengumuman Netanyahu sebagai satu tindakan haram.

Susulan gesaan itu, OIC akan mengadakan pertemuan bersama menteri luar negeri untuk membincangkan pengumuman Netanyahu, pada 15 September, ini.

“Atas permintaan Arab Saudi, organisasi itu akan mengadakan pertemuan tergempar pada hari Ahad di peringkat menteri luar negeri di Jeddah untuk membincangkan peningkatan eskalasi Israel yang serius,” kata pertubuhan itu di laman Twitter.

Netanyahu dilapor mengumumkan rancangannya untuk meluaskan pendudukan haram Israel di Tebing Barat sekiranya dia dipilih semula pada pilihan raya minggu depan. 

Menurut kumpulan hak asasi manusia Israel, B’Tsalem, kira-kira 65,000 orang Palestin dan 11,000 penduduk haram Israel tinggal di Lembah Jordan yang diduduki dan kawasan utara Laut Mati.

Rakyat Palestin di Lembah Jordan berkata, mereka telah mendiami tanah itu untuk beberapa generasi lamanya dan tidak akan pernah menyerahkannya kepada pihak lain.

Sementara itu, Malaysia turut mengutuk keras keputusan Netanyahu memperluaskan pendudukan haram jika dia memenangi pilihan raya Israel. 

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam, berkata, langkah Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Majlis Keselamatan PBB.

Malaysia menggesa komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak tegas terhadap sikap Israel yang jelas tidak menghormati peraturan dan undang-undang antarabangsa. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close