Berita Utama

Gelombang ketiga COVID-19 dijangka hingga awal tahun depan

Kadar kebolehjangkitan makin tinggi, kerajaan perlu lebih agresif

KUALA LUMPUR, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Wabak pandemik COVID-19 yang kini dalam gelombang ketiga dijangka berlarutan hingga awal tahun depan.

Ia seiring peningkatan kes jangkitan virus di seluruh dunia, yang menunjukkan tempoh ia mencapai tahap puncak semakin lama berbanding gelombang pertama dan kedua.

Justeru, Pakar perubatan kesihatan awam (epidemiologi), Dr Ahmad Zaid Fattah Azman berkata, peningkatan mendadak kes jangkitan baharu akan berlarutan bagi suatu tempoh agak lama.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, usaha untuk melandaikan lengkuk virus bergantung kepada beberapa faktor.

“Jangkitan gelombang ketiga ini mungkin dapat dilandaikan menjelang awal tahun depan, bergantung sama ada vaksin dapat dihasilkan pada akhir tahun ini atau sebaliknya.

“Kes memang dijangka meningkat apabila kadar kebolehjangkitan semakin tinggi dan kerajaan perlu lebih agresif.

“Trend jangkitan kekal meningkat dan jika keadaan seperti ini berlarutan selama dua minggu lagi, sistem perkhidmatan hospital kita akan lumpuh,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan kegagalan mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) turut mengakibatkan peningkatan mendadak jangkitan baharu COVID-19.

“Mungkin kita sebelum ini, tidak pernah mengalami pandemik bagi suatu jangka masa yang lama. Keadaan ini sekali gus mungkin mengakibatkan orang ramai fatigue (penat) untuk mengamalkan SOP,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button