Berita UtamaUtama

Jerebu: Elak aktiviti luar jika bacaan IPU lebih 100

Segera ke klinik jika alami gejala batuk, selsema dan asma: KKM

BANGI, 12 Muharram 1441H, Khamis – Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang awam supaya mengelakkan aktiviti di luar bangunan sekiranya sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 100, iaitu sangat tidak sihat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya menggunakan penutup hidung dan mulut sekiranya masih perlu melakukan aktiviti luar bagi mengurangkan pendedahan kepada bahan pencemaran ketika jerebu.

Beliau berkata, peringatan itu khusus untuk anak-anak kecil dan mereka yang menghidap penyakit respiratori serta jantung kerana lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

“Sekiranya terpaksa berada di luar, hadkan kepada aktiviti yang sangat penting sahaja dan pendekkan tempoh berada di luar bangunan. Elakkan aktiviti fizikal yang akan meningkatkan kadar pernafasan (Respiratory efforts) semasa berada di luar.

“Penggunaan penutup hidung dan mulut N95 adalah paling berkesan untuk kegunaan ketika keadaan berhabuk dan berjerebu dengan menapis udara yang disedut oleh manusia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, penutup hidung dan mulut N95 juga mempunyai beberapa kelemahan, seperti hanya berfungsi dengan baik sekiranya dipakai dengan sempurna atau ‘fit’.

“Penutup hidung dan mulut N95 tidak direka bagi kanak-kanak, dan pemakaian sempurna (perfect fitting) adalah sukar bagi mereka yang berjanggut atau berjambang.

“Penggunaan penutup hidung dan mulut N95 juga boleh menyebabkan ketidakselesaan dan sukar bernafas di kalangan pengguna, lalu menyebabkan mereka sering kali mengubah kedudukannya, yang akhirnya tidak dapat melindungi pengguna secara berkesan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penggunaan penutup hidung dan mulut tiga lapis pula bertujuan menghalang kuman yang boleh merebak melalui pernafasan, tetapi ia tidak sekedap respirator N95.

“Sungguhpun begitu, penutup hidung dan mulut tiga lapis boleh dipakai sekiranya respirator N95 tidak dapat diperolehi atas pelbagai sebab.

“Adalah lebih baik memakai penutup hidung dan mulut tiga lapis daripada tidak memakai pelindung pernafasan langsung terutama ketika menjalankan aktiviti di luar,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan orang ramai yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata atau jangkitan paru-paru supaya datang ke klinik bagi pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.

“Orang ramai disaran mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/, dan mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close