Berita UtamaUtama

Batal lesen agensi sengaja kenakan caj umrah berlebihan

Waspada dengan tawaran pakej umrah rendah bawah RM4,500

BANGI, 12 Muharram 1441H, Khamis – Agensi pengelola umrah dan haji dinasihatkan untuk tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan caj berlebihan susulan pengumuman kerajaan Arab Saudi mengenai caj tambahan visa berjumlah RM350 (300 Riyal) kepada bakal jemaah umrah.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik menegaskan, pihaknya akan memantau perkara itu dan akan mengambil tindakan tegas, termasuk membatalkan lesen agensi yang cuba mengambil kesempatan mengenakan caj berlebihan.

“Kementerian akan kawal perkara ini, kita tidak mahu agensi mengenakan caj yang tidak sepatutnya atau caj berlebihan dikenakan kepada mereka yang bakal mengerjakan umrah.

“Kita akan pantau dan nasihat mereka (agensi pelancongan) supaya tidak melakukan perkara sedemikian, kita ada kenakan syarat kepada mereka untuk menjadi pengendali umrah.

“Jika ia tidak dipatuhi tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan lesen mereka,” katanya selepas melancarkan Pameran Pelancongan Antarabangsa Umrah dan Haji, hari ini.

Terdahulu, kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa jemaah menteri meluluskan penstrukturan semula sistem visa untuk jemaah haji dan umrah serta bagi penumpang dan penumpang transit.  

Saudi Gazette melaporkan, penstrukturan semula itu membabitkan caj tambahan visa yang dikenakan pada kadar SR300 (RM350) bagi setiap orang.

Dalam pada itu, Bakhtiar turut mengingatkan orang ramai yang berniat untuk mengerjakan umrah supaya berhati-hati dengan tawaran pakej yang terlalu murah.

“Kita risau dengan harga pakej umrah yang ditawarkan terlalu rendah, kurang dari RM4,500, buat masa ini boleh dikatakan memang tiada langsung pakej di bawah RM4,500.

“Kalau ada pakej sedemikian, kita syaki ia mungkin ada berunsur penipuan, pelbagai alasan digunakan seperti ada pihak tampil memberikan subsidi, ini kita perlu berwaspada,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close