Berita Utama

Penukaran ke buku teks digital perlu secara berfasa: iGuru

Pelaksanaannya perlu elak susahkan guru, pihak sekolah, murid dan ibu bapa

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Syaaban 1444H, Ahad – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) bersetuju dengan usaha Kementerian Pendidikan (KPM) menukarkan bahan sistem pendidikan termasuk buku teks fizikal kepada digital, bagi menangani isu beg berat dalam kalangan murid.

Bagaimanapun, pelbagai pertimbangan harus diambil kira oleh KPM bagi memastikan usaha berkenaan efektif selain tidak menyusahkan guru, pihak sekolah, murid dan ibu bapa.

Justeru, Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan menyarankan supaya usaha itu dilaksana secara berfasa, dengan mengambil kira status murid serta kedudukan sekolah.

Ini kerana, katanya, tidak semua sekolah khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman mempunyai akses internet yang baik.

“Namun, pihak KPM khususnya kerajaan perlu tingkatkan kualiti akses capaian internet dan jalur lebar terutama di luar bandar dan pedalaman terutama 5G.

“Pada masa sama, perlu juga tingkatkan kemudahan pembelajaran digital seperti Smart Board, Smart TV, laptop dan telefon pintar,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rancangan KPM meneruskan usaha menukarkan buku teks fizikal kepada digital sebagai langkah menyelesaikan masalah beban beg berat murid.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, usaha itu agak terhad dengan mengambil kira pemilikan peranti digital dalam kalangan murid dan ketersediaan capaian internet di sekolah-sekolah seluruh negara.

Atas sebab itu, Mohd Azizee mencadangkan supaya sekolah yang belum bersedia melaksanakan perubahan bahan pendidikan kepada digital, boleh meneruskan penggunaan buku teks fizikal seperti biasa.

“Mana-mana sekolah yang menghadapi masalah boleh menggunakan buku teks bagi memastikan proses pembelajaran berlaku terutama menangani anak-anak miskin atau B40,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button