Dunia

Palestin tuntut siasat Israel tanam orang awam hidup-hidup

Hospital jadi berek tentera, kakitangan perubatan dianiaya

GAZA, 5 Jamadilakhir 1445H, Isnin – Palestin menuntut siasatan ke atas laporan tentera Israel menanam orang awam hidup-hidup di perkarangan Hospital Kamal Adwan di utara Gaza.

Menteri Kesihatan Palestin, Mai al-Kaila secara tegas mendesak siasatan antarabangsa dilakukan terhadap perbuatan keji rejim Israel itu.

“Maklumat dan keterangan daripada rakyat, kru perubatan dan media menunjukkan bahawa penceroboh Israel menguburkan orang awam yang masih hidup di perkarangan Hospital Kamal Adwan, dan sebahagian daripada mereka dilihat masih hidup sebelum dikepung rejim.

“Dunia harus mengambil tindakan serius untuk mendedahkan butiran fail ini dan tidak bertolak ansur atau berdiam diri mengenai maklumat yang datang dari Semenanjung Gaza,” katanya.

Beliau berkata, tentera Israel dengan sengaja mengusir orang awam cedera dari Hospital Kamal Adwan ke kawasan terbuka dalam cuaca sangat sejuk dan menyerang kakitangan perubatan, selain mengancam nyawa kesemua mereka.

Pada masa sama, Kementerian Luar Palestin juga menuntut siasatan antarabangsa segera terhadap laporan awal jenayah kejam dan ngeri rejim Israel di Hospital Kamal Adwan.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza, Munir Al-Bursh menegaskan rejim Israel telah melakukan bencana kemanusiaan, menjadikan hospital sebagai berek tentera dan dengan sengaja menganiaya kakitangan perubatan serta pesakit.

Manakala, wartawan Palestin, Anas al-Sharif dalam hantaran di X selepas melawat Hospital Kamal Adwan sebaik pengunduran tentera Israel berkata, perbuatan rejim adalah jenayah kejam terhadap penduduk serta kakitangan perubatan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button