Berita UtamaDuniaUtama

Taufan Faxai: Tiga maut, ribuan terkandas di lapangan terbang

930,000 isi rumah di wilayah Chiba, Kanagawa terputus bekalan elektrik

TOKYO, 10 Muharram 1441H, Selasa – Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan lebih 50 cedera ekoran taufan Faxai yang membawa angin kencang dan hujan lebat melanda kawasan metropolitan Tokyo, Jepun.

Seorang wanita berusia 50-an di Tokyo Setagaya Ward telah disahkan terbunuh selepas melayang ke dinding akibat angin kencang, manakala seorang lelaki berusia 87 tahun meninggal selepas sebatang pokok terhempap ke atasnya ketika dia menebang pokok di gunung di Otaki, kata polis.

Seorang lelaki berusia 47 tahun yang sedang membaiki penjana kuasa di pangkalan Pasukan Pertahanan Diri Maritim Yokosuka di Prefektur Kanagawa pula meninggal disebabkan tergelincir dari atas bangunan, kata polis.  

Bencana itu telah menyebabkan gangguan pengangkutan yang menjejaskan hampir 3 juta penumpang dan ribuan terkandas di lapangan terbang Narita di timur ibu negara.

East Japan Railway Co difahamkan telah menggantung semua laluan kereta api di kawasan metropolitan dan sekitarnya sebelum Taufan Faxai melanda berhampiran bandar Chiba sebelum jam 5 pagi. 

Di Lapangan Terbang Narita, kira-kira 14,000 orang terkandas pada malam Isnin kerana sistem pengangkutan awam yang menghubungkan lapangan terbang dan kawasan metropolitan itu digantung, kata Narita International Airport Corp.

Beberapa penerbangan antarabangsa Japan Airlines Co dari Guam dan Manila telah dipindahkan ke lapangan terbang Haneda Tokyo kerana kesesakan di Narita.

JapanToday melaporkan, pejabat lapangan terbang turut menyediakan selimut dan makanan untuk pelancong. Ramai orang berbaris di pintu masuk dan kaunter stesen kereta api untuk perkhidmatan bas ulang-alik, manakala kawasan lain di lapangan terbang seolah-olah seperti medan selera kerana dibanjiri dengan pelancong.

Sementara itu, sekitar 930,000 isi rumah, kebanyakannya di wilayah Chiba dan Kanagawa, terputus bekalan kuasa elektrik sementara, kata Tokyo Electric Power Company Holdings Inc. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close