Berita UtamaPendapat

Siri I: Peniaga muslim mohonlah sijil halal

Produk Halal bermaksud tidak dibuat daripada bahan syubhah, haram

1. Kempen Buy Muslim’s First (BMF) tidak akan berjaya jika peniaga muslim tidak memohon sijil halal. Label “Produk Muslim” belum 100 peratus meyakinkan pengguna bahawa produk itu benar-benar suci, bersih dan diyakini tiada sumber syubhah. Selain itu, sijil halal bahan mentah juga penting untuk pengusaha lain memohon sijil halal bagi produk mereka.

2. Produk Halal bermaksud produk itu tidak dibuat dari bahan syubhah/haram dan tidak dicemari najis. Dalam industri, terdapat beberapa bahan syubhah/haram yang peniaga sering terlepas pandang. Contohnya keju yang mengandungi rennet, ayam yang tidak jelas proses sembelihannya dan pewarna tiruan yang disentesis secara kimia.

Ada juga peniaga yang tidak kenal najis. Contoh barangan yang mungkin mengandungi najis adalah berus bulu haiwan, sarung tangan daripada kulit dan bahan pelincir mesin yang mengandungi lemak haiwan.

3. Bahan mentah terdiri daripada 3 kategori, iaitu kritikal, separa kritikal dan tidak kritikal. Bahan kritikal adalah bahan yang:
a) mengandungi sumber haiwan darat (selain telur dan susu), seperti ayam segar, sate, burger.
b) melalui proses fermentasi, seperti kicap, budu, cuka, cencalok.
c) bahan mikrob, seperti yis, lacto bacillus
d) bahan yang diproses dari pelbagai bahan mentah, seperti roti, jem, coklat.

4. Manakala bahan separa kritikal adalah bahan yang melalui proses ringkas dan tiada aditif, seperti ikan kering, cili kering, lada hitam kering, beras, gula dan serbuk koko.

5. Bahan yang tidak kritikal pula adalah bahan segar yang tidak diproses langsung seperti telur segar, sayur segar, buah segar dan makanan laut segar.

6. Semua bahan kritikal wajib mempunyai sijil halal. Bahan separa kritikal pula wajib memiliki dokumen spesifikasi produk dan carta alir pemprosesan.

Dokumen spesifikasi produk adalah dokumen dari pengeluar yang mengisytiharkan kandungan produk tersebut, manakala carta alir pemprosesan adalah dokumen dari pengeluar yang mengisytiharkan kaedah produk tersebut dihasilkan, bermula dari bahan mentah hingga produk akhir. Bagaimanapun, jika produk ini mempunyai sijil halal, dokumen spesifikasi produk dan carta alir pemprosesan tidak lagi diperlukan.

7. Manakala bahan tidak kritikal pula adalah bahan yang tidak memerlukan apa-apa dokumen. Ia diterima terus dalam pensijilan halal.

8. Nah, bukan susah sangat nak dapatkan bahan-bahan mentah yang memenuhi pensjilan halal Jakim. Bagi seorang peniaga kuih karipap, bahan mentahnya ada enam, iaitu tepung gandum, minyak masak, kentang segar, serbuk kari, garam dan air.

Tepung gandum, minyak masak, serbuk kari dan garam adalah bahan separa kritikal, manakala kentang segar dan air adalah bahan tidak kritikal. Semua bahan separa kritikal ini ada sijil halal dan mudah didapati, maka apa yang menghalang anda memohon sijil halal?

9. Apabila semua bahan mentah kita sudah dipastikan Halal, kita sudah 50 peratus bersedia memohon sijil halal. Tinggal lagi kita memastikan proses kita suci (tiada risiko najis), dan mematuhi undang-undang keselamatan makanan. InsyaAllah saya akan huraikan baki 50 peratus dalam bahagian 2 penulisan ini.

Ustaz Bilal Jailani
Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close