Berita UtamaIstimewaUtama

Maszlee atau Amin berbohong?

Isu babit pendidikan pewaris negara perlu diurus secara profesional

BANGI, 10 Muharram 1441H, Selasa – PAS yakin salah seorang daripada Menteri Pendidikan atau Ketua Pengarah Pelajaran berbohong, apabila mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung cadangan penutupan 21 Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

Sebelum ini, akhbar Berita Harian melaporkan 21 dari 27 IPG di seluruh negara dicadang ditutup secara berperingkat mulai tahun depan, yang disahkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Serentak itu, difahamkan tahun ini adalah tahun terakhir pengambilan penuntut oleh 21 IPG terbabit, yang mana hanya enam kampus IPG dikatakan akan terus beroperasi.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan laporan media berkenaan adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali.

Maszlee berkata, cadangan penutupan IPG sama sekali tidak berkait dan langsung tidak merujuk kepada dasar kerajaan pada masa ini.

“Kita meminta kepada pihak yang mengeluarkan berita tersebut supaya merujuk kepada kita dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar sama sekali,” katanya.

Mengulas perkara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, perkara ini amat mudah untuk diselesaikan kerana isunya hanyalah benar atau tidak penutupan IPG ini dibincangkan oleh Kementerian Pendidikan – kenyataan yang saling bercanggah antara Menteri Pendidikan dan Ketua Pengarah Pelajaran.

“Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini menyatakan adalah tidak munasabah perkara seperti penutupan 21 Institut Pendidikan Guru ini dibincangkan ketika Kementerian Pendidikan sedang berusaha melaksanakan penambahbaikan dalam latihan perguruan.

“Sebelumnya pula, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, dilaporkan oleh akhbar Berita Harian sebagai mengesahkan bahawa cadangan penutupan beberapa Institut Pendidikan Guru memang ada dibincangkan pada peringkat Kementerian Pendidikan.

“Apabila wujud dua kenyataan yang bertentangan antara satu sama lain maka pastilah salah seorang daripada mereka bercakap bohong kerana tidak munasabah untuk kedua-dua kenyataan yang saling bercanggah adalah benar kedua-duanya, jadi siapakah yang berbohong?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kamaruzaman yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menegaskan, institusi perguruan adalah institusi yang sangat penting kerana ia membabitkan pendidikan masa depan pewaris negara pada masa depan.

“Maka sewajarnya, perkara yang sangat penting ini diuruskan secara profesional,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close