PendapatUncategorized

Gagasan KL, Ankara dan Islamabad harapan kosong?

Kemampuan PH bergantung sama ada rakyat serik atau tak dengan BN

SUSULAN lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Turki pada hujung bulan Julai, ramai yang telah menyuarakan harapan agar ketiga-tiga negara ini akan dapat menjadi unsur perubahan di dunia Islam supaya mengembalikan kegemilangannya sama ada dari sudut pengaruh, strategi, ekonomi mahupun penguasaan geopolitik dunia.

Bahkan ketua pemuda parti PAS, parti yang menjadi seteru kepada PH yang diketuai oleh Tun Mahathir, sanggup menyuarakan keyakinan beliau bahawa Tun Mahathir mampu membangkitkan semula agenda D8 (iaitu gagasan negara-negara Islam yang terdiri dari Bangladesh, Mesir, Nigeria, Indonesia, Iran, Malaysia, Pakistan, dan Turki ) yang mempelopori kerjasama ekonomi dan perdagangan dalam kalangan dunia Islam supaya menjadi pemangkin serta contoh kepada negara Islam yang lain.

Namun pada pendapat penulis harapan dan keyakinan beliau adalah tidak berpijak di bumi yang nyata. Kemungkinan besar beliau tidak menyedari keadaan sebenar negara Malaysia, Pakistan dan Turki. Hakikatnya ialah ketiga-tiga negara ini sekarang dalam keadaan yang amat lemah yang mengakibatkan mereka sendiri memerlukan bantuan dari negara dan institusi bukan Islam.

Sebagai contoh, kerajaan Malaysia sekarang menghadapi masalah beban hutang yang tinggi dari syarikat kewangan dalam dan dari luar negara yang juga mengenakan bunga yang tinggi. Ini terutama sekali hutang yang ditanggung oleh syarikat 1MDB.

Akibatnya kerajaan Malaysia telah terpaksa meminta bantuan dari syarikat kewangan sebanyak 200 billion yen (atau lebih kurang RM7.34 billion) pada bulan Mac. Pada 7 September lepas, Tun Mahathir telah mengumumkan keputusan meminjam sekali lagi dari syarikat kewangan Jepun kerana memerlukan dana tersebut untuk menyelesaikan masalah hutang negara yang mahal (dari segi bayaran bunga atau interest).

Kerajaan juga terpaksa memikirkan langkah penjimatan seperti menggabungkan universiti-universiti serta kemungkinan melantik kakitangan awam secara kontrak dan bukan berpencen. Dalam keadaan di mana hampir 20 peratus rakyat dalam kategori miskin ( seperti yang dilaporkan oleh wakil PBB Philip Alston), langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan di atas akan menambahkan kepada keperitan kehidupan rakyat.

Malaysia juga sedang memikirkan kemungkinan mendapat bantuan Russia dalam berbagai bidang. Tekanan kerajaan Malaysia untuk mendapat bantuan mereka mungkin menjadi faktor utama kenapa Tun Mahathir membuat keputusan untuk menolak dapatan pasukan penyiasat antarabangsa yang merumuskan bahawa beberapa orang warga Russia terlibat dalam jenayah menembak jatuh kapalterbang MAS MH17 pada bulan Julai 2014.

Jika benar itu adalah faktor kepada keputusan Tun, ia mencerminkan betapa lemahnya negara kita sehingga terpaksa menutup mata kepada jenayah yang melibatkan kehancuran kapalterbang milik negara serta nyawa 43 warga negara kita.

Di dalam kes Pakistan, kelemahan ekonominya diketahui umum. Ini kerana Pakistan telah terpaksa meminjam dana dari organisasi yang paling berkait dengan sistem kewangan kapitalis barat iaitu International Monetary Fund (IMF) sebanyak USD 6 bilion pada bulan Julai lepas.

Sudah tentu pinjaman dari IMF mempunyai syarat yang amat ketat seperti pengurangan bantuan subsidi rakyat serta penambahan kutipan cukai. Syarat yang paling menyedihkan ialah Pakistan dimestikan melaksanakan polisi ekonomi dan kewangan yang lebih liberal yang akan membenarkan institusi kewangan barat beroperasi dengan lebih bebas di dalam negara Pakistan.

Sekarang ini rakyat Pakistan sudah mula merasa keperitan akibat dari pelaksanaan polisi yang dicadangkan oleh IMF seperti inflasi dan kenaikan kos utiliti seperti elektrik dan air. Keadaan ini akan menjejaskan populariti kerajaan Imran Khan. Namun beliau tiada pilihan kerana Pakistan mempunyai hutang luar yang sangat tinggi.

Laporan terkini dari State Bank of Pakistan menyatakan bahawa buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun jumlah hutang dan tanggungan Pakistan adalah melebihi saiz ekonomi negara tersebut iaitu melebihi 40.2 trillion Rupees Pakistan ( iaitu lebih kurang USD256 billion).

Kenaikan jumlah hutang ini adalah akibat dari pergantungan Pakistan kepada dana dari negara China terutama sekali di dalam projek `China–Pakistan Economic Corridor (CPEC)’.

Imran Khan telah cuba untuk menyelesaikan masalah hutang Pakistan dengan meminta bantuan dari Arab Saudi, UAE dan Malaysia. Namun kesemua negara ini gagal membantu menyelesaikan masalah Pakistan dan oleh sebab itulah Pakistan terpaksa meminta bantuan dari IMF walaupun kesan negatif dari langkah ini memang disedari oleh beliau.

Negara Turki juga dalam keadaan yang tenat dan lemah. Kadar pengangguran adalah 12.8 peratus pada bulan Mei iaitu yang paling tinggi semenjak parti AKP berkuasa (terkecuali kadar semasa kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2008). Kadar pengangguran yang tidak mengambil kira sektor pertanian ialah 15 peratus, sementara kadari inflasi adalah keenam tertinggi di dunia.

Ini semua adalah akibat krisis ekonomi yang melanda Turki semenjak beberapa tahun lepas. Antara punca utama kepada masalah ekonomi Turki ialah tahap hutang luar yang sangat tinggi. Pada tahun 2002 apabila parti AKP mula berkuasa, jumlah hutang luarnya adalah USD 130 billion.

Namun ianya telah meningkat naik dengan cepat menjadi USD 453 billion pada tahun 2019 di mana USD 334 billion adalah oleh sektor swastanya. Nilai hutang luar Turki telah menjadi bertambah serius akibat dari kejatuhan nilai matawang Turki berbanding dolar Amerika semenjak beberapa tahun yang lepas.

Masalah ekonomi Turki telah membuat ramai rakyatnya kecewa dengan kerajaan AKP. Ini terbukti apabila parti tersebut kalah di dalam pilihanraya bandaraya Istanbul baru-baru ini. Keperitan hidup juga telah membuat rakyat Turki membenci kehadiran pelarian asing walaupun dari negara Islam seperti Syria.

Untuk meredakan kemarahan rakyat, kerajaan Turki telah menghantar balik secara paksa ribuan rakyat Syria walaupun keadaan di sana masih kucar kacir dan tidak selamat.

Turki juga telah menukar pendirian nya terhadap negara China yang dahulunya dikutuk hebat oleh Erdogan kerana menzalimi rakyat Uighur di wilayah Xinjiang. Baru-baru ini Erdogan secara terbuka menyuarakan persetujuan kepada polisi dan tindakan kerajaan China terhadap rakyat Uighur.

Pendek kata, Malaysia, Turki dan Pakistan sebenarnya pada masa ini langsung tidak berkemampuan untuk memimpin negara Islam lain ke arah era baru yang gemilang.

Sebaliknya pemimpin ketiga-tiga negara ini sedang dalam keadaan tertekan untuk memastikan mereka masih kekal berkuasa dan tidak dijatuhkan oleh rakyat mereka sendiri akibat dari masalah dalaman terutama dari aspek ekonomi dan sosial. Di Turki, parti AKP yang dipimpin oleh Erdogan adalah jelas semakin lemah.

Keadaan bertambah teruk akibat keputusan beberapa orang bekas rakan beliau di dalam AKP yang dilaporkan akan menubuhkan satu parti baru yang akan mencabar AKP. Mereka termasuk bekas menteri ekonomi Ali Babacan, bekas perdana menteri Ahmet Davutoglu serta bekas presiden Abdullah Gul.

Di Malaysia, Tun Mahathir dan PH sedang diasak teruk oleh gabungan UMNO dan PAS. Bahkan beliau juga sedang dikritik dari dalam PH sendiri, terutama dari kalangan ahli parti DAP kerana kegagalan beliau memenuhi beberapa tuntutan mereka (seperti melucutkan status penduduk tetap Zakir Naik).

Beliau juga sedang dikritik oleh ramai dari kalangan penyokong tegar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak berpuas hati dengan keputusan beliau untuk tidak menyerahkan kuasa selepas dua tahun seperti yang dijanjikan.

Kemampuan kerajaan PH untuk bertahan bergantung sama ada rakyat Malaysia masih serik atau tidak dengan pengalaman pahit berada dibawah pemerintahan pemimpin-pemimpin kerajaan UMNO/BN yang ramai dikalangan mereka sedang didakwa dimahkamah atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

Di Pakistan pula, kedudukan politik Imran Khan sedang tergugat akibat kesengsaraan hidup rakyat susulan dari pelaksanaan polisi IMF sebagai syarat mendapat pinjaman dana sebanyak USD 6 bilion. Jika rakyat Pakistan tidak tahan dengan keadaan pelonjakan kos sara hidup yang sedang berlaku sekarang, besar kemungkinan Imran Khan akan dikalahkan di pilihanraya akan datang.

Apa yang boleh dirumuskan ialah sebelum kita mahu melihat negara Islam menjadi pemimpin umat dan dunia, kita perlu pastikan masyarakat dan kerajaan negara Islam bebas dahulu dari masalah dalaman yang serius.

Tetapi ini hanya mungkin berlaku jika mereka telah menghayati ajaran Islam sepenuhnya dahulu, terutama sekali dari aspek kebebasan dan belenggu hutang serta kebergantungan kepada institusi kewangan Riba dari barat termasuk dari IMF.

Pemimpin dan rakyat negara Islam perlu diingatkan kepada pesanan Nabi SAW tentang bahaya terjebak dengan perangkap hutang yang membelit. Sama-samalah kita semua berdoa dengan doa yang diajar oleh beliau:

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Prof Mohd Nazari Ismail
Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya

Artikel ini telah lebih awal disiarkan di Facebook penulis, Mohd Nazari Ismail.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close