Berita UtamaIstimewaUtama

‘Mujahid seolah-olah buta sirah perjuangan Rasulullah ﷺ’

Kempen BMF cara kukuhkan ekonomi umat Islam yang sedia lemah

BANGI, 8 Muharram 1441H, Ahad – Kenyataan Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa yang mempertikaikan usaha Kempen Beli Produk Muslim menggambarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu seorang yang buta sirah perjuangan Rasulullah ﷺ.

Menempelak tindakan itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Tarbiyah gerakan Islam sederhana, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim berkata, kenyataan Mujahid bertentangan dengan fakta sirah dan perjuangan Nabi Muhammad ﷺ di Madinah.

Mengimbau sejarah Rasulullah ﷺ, beliau berkata, di Madinah Baginda telah mewujudkan sistem ekonomi Islam bagi menggantikan sistem ekonomi Yahudi dan jahiliah yang mengandungi banyak unsur riba.

Katanya, pasar-pasar untuk perniagaan orang Islam telah dibina sebagai usaha membina ekonomi yang berlandaskan syariat Islam dan pengukuhan ekonomi masyarakat Islam.

“Tidakkah terang lagi bersuluh, apabila diwujudkan pasar orang Islam, sudah tentu orang Islam disarankan membeli dari barang keluaran muslim bagi mengukuhkan ekonomi umat Islam ketika itu?

“Secara umum, usaha awal Rasulullah ﷺ ini telah mencapai satu tahap ekonomi yang amat baik pada awal pembinaan negara Islam di Madinah seperti penutupan pasar kaum Yahudi kerana kerugian bila mana masyarakat Islam Madinah lebih mengutamakan pasar yang milik peniaga Islam.

“Sistem wakaf juga telah berkembang di mana para sahabat telah mewakafkan sebahagian besar harta untuk keperluan penduduk seperti mendapatkan sumber air, tanah untuk pembinaan institusi masjid yang menjadi pusat pemerintahan dan perkembangan dakwah dan pendidikan pada masa itu,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Mujahid yang mempertikaikan usaha Kempen Beli Produk Muslim. Sebelum ini, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu dilaporkan berkata, Islam menekankan pembelian barangan halal dan bersih, tetapi tidak mengajar umatnya memilih produk berdasarkan kaum serta agama.

Beliau berkata, ajaran Islam itu tiada kaitan dengan kempen mengutamakan produk Islam yang dicanangkan sesetengah pihak.

Mengulas lanjut, Omar menegaskan, kempen membeli barangan keluaran muslim adalah salah satu cara mengukuhkan ekonomi umat Islam yang sedia lemah.

“Siapa kata Islam tak saran beli barang ikut agama pengeluar? Jika ada pilihan, mengapa dipersoalkan hak kita untuk promosi pembelian produk keluaran bangsa Melayu dan orang Islam,” kata beliau.

Sejak beberapa minggu lalu, kempen yang dilancarkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) khusus untuk masyarakat Islam di negara ini, menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan pihak tertentu.

Bukan hanya dikritik dan ditentang oleh DAP, usaha berkenaan turut ditolak Kabinet Pakatan Harapan (PH) – yang juga dianggotai pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR – yang menganggap tindakan itu sebagai boikot dan tidak wajar.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close