Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

BM takkan dimartabat selagi tiada iltizam politik dari kerajaan

MySC'19 bukti penggunaan bahasa Melayu dipinggirkan: Berjasa

Oleh Fazleen Safina
 
BANGI, 8 Muharram 1441H, Ahad – Seruan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa wakil rakyat di setiap peringkat menguasai bahasa Melayu tidak akan menjadi kenyataan selagi tiada iltizam politik daripada pihak kerajaan sendiri.

Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, bahasa Melayu tidak akan dapat dimartabatkan selagi kerajaan hari ini terus memandang ringan kepentingannya sebagai bahasa kebangsaan dan sebahagian daripada identiti negara.

“Selagi kerajaan hari ini memandang ringan akan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan yang merupakan sebahagian identiti negara, selagi itulah bahasa Melayu tidak akan dimartabatkan.

“Apatah lagi, bila Anwar Ibrahim sendiri, bukan merupakan pemimpin kerajaan, hanyalah salah seorang presiden parti dalam komponen Pakatan Harapan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Anwar mengingatkan pemimpin politik, khususnya wakil rakyat di peringkat Persekutuan dan Negeri supaya mempertingkatkan mutu penguasaan bahasa Melayu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dilaporkan berkata, penguasaan bahasa kebangsaan boleh dipertingkatkan dalam urusan rasmi seperti surat menyurat atau ketika persidangan.

Tetap menyambut baik gesaan Presiden PKR itu, Dr Badrulhisham bagaimanapun berkata, seruan berkenaan bukanlah perkara baharu, bahkan telah berulang kali disuarakan banyak pihak, termasuk pejuang bahasa.

“Contohnya, Dr Awang Sariyan dalam rencananya di Utusan Melayu tahun lalu, pernah mengungkitkan tiga peristiwa membelakangkan bahasa Melayu yang membuktikan kerjaan PH tidak mengambil berat mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Peristiwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin dalam siaran media rasmi; peristiwa di Johor Bahru dalam isu surat edaran rasmi seorang anggota majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakan bahasa Mandarin sehingga membangkitkan kemurkaan Sultan Johor.

“…dan peristiwa di Perak, sijil yang berjata negara dan mencatat nama Kementerian Pendidikan Malaysia dicetak dalam bahasa Mandarin,” katanya.

Terbaharu, keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menukarkan nama Hari Sukan Negara 2019 kepada Malaysia Sports Challenge 2019 MySC’19) juga menunjukkan bagaimana penggunaan bahasa Melayu dipinggirkan oleh kerajaan sendiri, katanya.

“Menurut Dr Awang Sariyan lagi, Dasar Bahasa Kebangsaan ialah salah satu dasar negara. Bahasa Melayu yang merupakan bahasa Kebangsaan adalah roh negara mengikut kenyataan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957.

“Penggubalan semua dasar negara adalah bertujuan membangunkan negara dalam semua aspek termasuk pemikiran, perpaduan dan jati diri,” katanya.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close