Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

‘Anwar patut didik dulu DAP hormat identiti negara’

Tak usahlah jadi ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 7 Muharram 1441H, Sabtu – Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya mendidik dahulu rakan politiknya, DAP supaya menghormati dan menerima identiti negara yang berasaskan Islam, Melayu serta institusi diraja, sebelum menggesa wakil rakyat di setiap peringkat menguasai bahasa Melayu.

Sekalipun gesaan itu benar, Naib Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Abd Rahman berkata, isu berkenaan bukanlah masalah ‘pokok’ kepada pelbagai pertikaian yang timbul sejak kebelakangan ini, bahkan dahulu lagi.

Beliau berkata, jika PKR – selaku rakan karib DAP – boleh mengubah sikap parti tamak haloba berkenaan dan menerima baik asas identiti negara seperti yang termaktub Perlembagaan, pastinya isu penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan wakil rakyat juga dapat diselesaikan.

“Terlalu banyak kenyataan dan tindakan pemimpin DAP yang bertentangan dengan paksi identiti dan Perlembagaan negara.

“Malah, isu penggunaan bahasa bukan Melayu dalam urusan rasmi kerajaan oleh pemimpin DAP adalah perbuatan mencolok mata rakyat negara ini,” katanya kepada Ismaweb.net.

Beliau berkata, tindak-tanduk parti tamak haloba berkenaan juga menimbulkan persoalan yang lebih serius berbanding isu pengusaan bahasa Melayu yang disuarakan Anwar, termasuklah kesetiaan pemimpin dan ahlinya kepada Raja dan negara.

“Ini termasuklah tindakan Speaker DUN yang menangguhkan usul pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang sudah mendapat perkenan Sultan.

“Jadi, sebaiknya Anwar menilai semula keperluan yang sepatutnya didahulukan supaya tidak menjadi seperti ayam jantan berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi,” katanya.

Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata, mengingatkan pemimpin politik, khususnya wakil rakyat di peringkat Persekutuan dan Negeri supaya mempertingkatkan mutu penguasaan bahasa Melayu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, penguasaan bahasa kebangsaan itu boleh dipertingkatkan dalam urusan rasmi seperti surat menyurat atau ketika persidangan.

“Saya tekankan setelah enam dekad sepatutnya soal bahasa kebangsaan tidak lagi jadi wacana, yang kita tekankan ialah mutu penguasaan bahasa.

“Pertamanya, dalam dasar program kerajaan, kita ingatkan orang politik, penjawat awam memastikan menggunakan bahasa yang baik,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close