Berita UtamaPendapatUtama

Peka B40, MySalam lebih baik?

Wang Peka B40 untuk klinik swasta, kerajaan, MySalam lebih fleksibel

TAHUN ini kita diperkenalkan dengan dua inisiatif kerajaan dalam sektor kesihatan untuk mengurangkan beban golongan B40 mendapatkan rawatan.

Peka B40 adalah produk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Menteri Kesihatan YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, manakala MySalam adalah inisiatif dari Kementerian Kewangan di bawah YB Lim Guan Eng.

Peka B40 bertujuan untuk mengatasi masalah penyakit tidak berjangkit atau non communicable diseases (NCD) seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, masalah mental dan kanser. Ini disebabkan beban NCD di negara ini semakin tinggi, tetapi lambat dikesan sehingga menyebabkan komplikasi dari penyakit berlaku. Peka B40 meliputi empat manfaat utama iaitu :

Manfaat pertama: Saringan kesihatan
Manfaat kedua: Bantuan alat perubatan yang tidak diberi subsidi di hospital KKM
Manfaat ketiga : Insentif melengkapkan rawatan kanser
Manfaat keempat: Insentif tambang pengangkutan

 

Penerima perlu menjalani saringan kesihatan sama ada di klinik swasta atau klinik kerajaan.

Bagi penerima manfaat pertama, mereka layak mendapatkan manfaat seterusnya iaitu manfaat kedua, ketiga dan keempat.

Manakala MySalam pula adalah skim yang menyediakan pembayaran pembayaran sebanyak RM8,000 satu kali atau sekaligus sekiranya mereka disahkan menghidapi mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal seperti kanser, penyakit jantung, distrofi otot, Alzheimer, dan lain-lain.

Skim mySalam juga menyediakan bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari, atau RM700 setiap tahun, kepada mereka yang menerima rawatan di mana-mana hospital kerajaan.

Meskipun kedua-dua produk ini berbeza bentuk dan peranannya, namun kita boleh bandingkan untuk mengetahui yang mana lebih bermanfaat kepada rakyat dan kos efektif kepada kerajaan. Persamaan kedua-duanya ialah meliputi penyakit kronik tetapi berbeza dari liputan umur yang mana, Peka B40 untuk yang berusia lebih 50 tahun manakala MySalam untuk 18-55 tahun.

Peka B40 mengambil konsep Peduli Sihat yang diperkenalkan di Selangor selepas PRU13 untuk membantu golongan B40 membuat saringan kesihatan di klinik swasta.

Namun YBMK telah menambah lagi beberapa manfaat antaranya meliputi kos rawatan dan alatan perubatan di hospital kerajaan.

Rakyat juga berpeluang mendapat wang saku untuk kos-kos di luar rawatan seperti pengangkutan. Meskipun tiada wang saku satu kali tetapi manfaat ‘coverage’ sehingga RM20,000 untuk alat rawatan bagi surgeri dan prosedur adalah lebih banyak dari RM8,000 dari MySalam.

Konsep MySalam pula seperti insurans untuk penyakit kronik yang memberi wang pampasan RM8,000 sekali beri dan RM50 sehari sehingga 14 hari. Ini tidak termasuk untuk kos perubatan dan alatan di hospital dalam manfaat yang ditawarkan sepertimana Peka B40.

Maka dari perbandingan yang mudah ini, yang manakah lebih bermanfaat? Ironinya Peka B40 hanyalah memperuntukkan RM100 juta setahun berbanding MySalam yang diperuntukkan RM400 juta setahun oleh Menteri Kewangan.

Hakikatnya, sehingga Julai 2019, hanya sekitar RM1 juta telah dibayar dibawah skim ini, membabitkan 108 kelulusan untuk permohonan penyakit kritikal dan 941 kelulusan untuk permohonan kemasukan ke wad.

Hujah bahawa MySalam meliputi lebih ramai rakyat berbanding Peka B40 ada benarnya, tetapi kos yang dirunsingkan rakyat untuk menanggungnya adalah kos rawatan sama ada perubatan, pembedahan atau prosedur di hospital, bukan hanya sekadar wang pampasan atau wang saku seperti skim MySalam.

Malah, perkara ini masih belum membuatkan liputan kesihatan sejagat (UHC) terjamin. Tambahan pula, wang dari Peka B40 akan masuk ke klinik swasta dan hospital kerajaan yang mana membantu mengurangkan beban kerajaan dan rakyat, khususnya berbanding MySalam yang lebih fleksible untuk digunakan dan pastinya lebih banyak mengalir ke pihak swasta.

Sekiranya kita berumur lebih 50 tahun, inisiatif yang mana satukah lebih bermanfaat bagi kita? Kedua-duanya masih belum menjamin UHC sepenuhnya.

Akhirnya, skim pembiayaan kesihatan nasional (NHFS) perlu dilaksanakan, bagi meliputi pembiayaan kos perubatan dan bajet dari pengumpulan cukai perlu dilaburkan dalam menjana bahagian pencegahan penyakit yang kurang diberi perhatian sebelum ini.

Dengan bajet yang lebih besar membolehkan bahagian pencegahan penyakit menyediakan pelbagai solusi bagi mengubah cara hidup rakyat Malaysia ke arah yag lebih sihat.

Impaknya, penyakit tidak berjangkit serta komplikasinya dapat dikurangkan dan kualiti hidup rakyat lebih terjamin di masa hadapan.

Bukankah kita perlukan generasi yang sihat fizikal dan mental bagi membawa negara ke arah lebih maju dan harmoni?

Disediakan oleh:
Dr Abdul Rahman Ramdzan, MPH (UKM), DrPH candidate
Dr Mohd Ihsanuddin Abas, MPH (UKM), DrPH candidate
Unit Kesihatan Awam, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (i-Medik)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

 
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close