Berita UtamaDunia

Letupan Beirut: Siasatan ditangguh 2 menteri minta hakim ditukar

4 menteri dituduh atas kecuaian, sebabkan kematian ratusan orang

BEIRUT, 3 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Hakim siasatan letupan besar yang menggegarkan Beirut pada bulan Ogos lalu terpaksa menangguhkan siasatan setelah dua menteri yang dituduh dengan kecuaian meminta hakim itu dikeluarkan daripada prosiding, menurut sumber kehakiman.

Hakim Fadi Sawwan pada 10 Disember mengeluarkan tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri sementara, Hassan Diab dan bekas menteri tinggi, Ali Hassan Khalil, Ghazi Zaiter dan Youssef Fenianos berhubung letupan pada 4 Ogos lalu.

Keempat-empat mereka dituduh atas ‘kecuaian dan menyebabkan kematian hingga ratusan dan mencederakan ribuan lagi’ dalam salah satu letupan bukan nuklear terbesar dalam sejarah.

Bagaimanapun, dua menteri yang dituduh dalam siasatan letupan itu telah meminta agar Hakim Fadi Sawwan dikeluarkan daripada prosiding

Mahkamah Tinggi Lubnan kini diharap akan membuat keputusan berhubung permintaan kedua-dua menteri itu, lapor AFP.

“Sehingga itu, semua proses penyiasatan ditangguhkan,” kata seorang pegawai kehakiman kanan mahkamah kepada agensi berita itu dengan syarat tidak mahu disebutkan namanya.

Awal minggu ini, sumber yang dekat dengan Hakim Fadi Sawwan mengatakan kepada Middle East Eye bahawa penyiasatan terhadap letupan itu menjadi sasaran ‘kempen politik’ yang memalukan.

Letupan yang menggegarkan ibu kota beberapa bulan lalu itu, mengorbankan kira-kira 200 nyawa dan mencederakan ribuan, disebabkan oleh hampir 3,000 tan letupan ammonium nitrat yang tidak dijaga di pelabuhan selama lebih daripada setengah dekad.

Tragedi itu juga mendorong ketidakpercayaan di kalangan pelabur antarabangsa yang sokongannya diperlukan dalam usaha Lubnan untuk bertahan dalam krisis ekonomi terburuknya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button